PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah popular era 1980-an, M. Jamil dilaporkan masih bersedih selepas bercerai dengan isterinya, Shahrila Markom pada 28 Oktober lalu.
Anaknya, Sadiq, 28, berkata, keadaan kesihatan bapanya turut merosot selepas melalui episod perpisahan tersebut, namun dia bersama adik-beradik lain sentiasa memberikan sokongan moral dan fizikal bagi memastikan kebajikan lelaki itu terjaga.
“Selepas perceraian, kesihatan ayah sekarang memang tidak begitu baik. Walau bagaimanapun, kami adik-beradik sentiasa memberikan sokongan dan menjaga keperluan ayah termasuk makan minum, kewangan serta penjagaannya.
“Kami sentiasa memastikan ayah dijaga dengan baik supaya dia sihat dan gembira. Kami tidak mahu dia bersedih, lebih-lebih lagi pada usia sebegini. Jadi, kami adik-beradik sentiasa ada untuk ayah.
“Sejujurnya, keadaan itu memang memberi kesan kepadanya kerana dia terlantar sakit. Apabila isteri sudah tiada di sisi, sudah tentu dia berasa sedih dan tidak gembira,” katanya kepada Kosmo! Online pada malam gala tayangan filem Kacau di TGV KLCC, Kuala Lumpur semalam.
Mengulas punca perceraian bapanya, Sadiq berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kedua-dua pihak tidak lagi mempunyai persefahaman meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk mempertahankan rumah tangga mereka.
“Kalau boleh, saya sendiri tidak mahu terlalu bercerita tentang hal keluarga. Saya juga lebih suka berkongsi perkara yang baik tentang keluarga.
“Bagaimanapun, apa yang boleh saya kongsikan ialah mereka tidak lagi mempunyai persefahaman.
“Ayah memang mahu cuba menyelamatkan perkahwinan tersebut. Seperti yang kita semua tahu, dia juga pernah berkongsi perkara itu kepada pihak media.
“Tetapi kita tidak boleh memaksa keadaan. Akhirnya, mereka sudah berbincang dan mencapai kata sepakat bahawa perceraian adalah jalan terbaik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sadiq tidak menghalang sekiranya bapanya mempunyai hasrat untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini.
Bagaimanapun, dia berharap M. Jamil memberikan keutamaan kepada kesihatan dan proses pemulihan dirinya terlebih dahulu sebelum memikirkan soal mencari pasangan baharu. – KOSMO! ONLINE
















