fbpx
Tetamu kenamaan diberi penerangan mengenai pameran berkaitan Malaysia pada Malaysia Day di Nanning, China baru-baru ini.

Malaysia Day perkukuh hubungan perdagangan, kebudayaan, pelancongan Malaysia, China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Program Malaysia Day: A Symphony of Culture, Trade and Flavours yang telah dianjurkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Nanning di sebuah hotel di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China, padat dengan pelbagai acara yang mendedahkan tentang kebudayaan, bahasa, tarian dan juga makanan rakyat Malaysia kepada tetamu yang hadir.

Antara pengisian menarik itu terdiri daripada persembahan tarian tradisional oleh Akarseni Malaysia Entertainment dan persembahan nyanyian serta deklamasi puisi dalam Bahasa Melayu oleh pelajar universiti tempatan dari China.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penglibatan pelajar Universiti Guangxi Minzu dalam persembahan Bahasa Melayu juga dapat mencerminkan hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara melalui pertukaran bahasa, pendidikan dan kebudayaan.

Daripada aspek makanan dan minuman pula, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai hidangan tradisional Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, sate, popiah, samosa dan teh tarik.

“Demonstrasi penyediaan pankek durian ala Malaysia secara langsung turut menjadi antara tarikan istimewa program, sekali gus memperkenalkan keunikan gastronomi Malaysia kepada masyarakat Guangxi,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, penganjuran acara tersebut, menunjukkan komitmen berterusan Konsulat Jeneral Malaysia di Nanning dalam memperkukuh hubungan diplomatik, ekonomi dan sosial antara Malaysia dengan China.

“Melalui penglibatan agensi kerajaan, syarikat swasta, pemain industri kreatif dan komuniti perniagaan, program ini turut menyediakan platform untuk memperluas jaringan perdagangan, mempromosikan keupayaan industri Malaysia serta menggalakkan potensi kerjasama strategik pada masa hadapan,” ujarnya.

Diharapkan kemudahan inisiatif seumpama ini dapat terus meningkatkan keterlihatan Malaysia di Guangxi, di samping memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Selain itu, menerusi program berkenaan, terdapat juga pelbagai agensi dan organisasi Malaysia mengambil bahagian dalam memperkenalkan kekuatan ekonomi, produk, perkhidmatan serta keunikan warisan budaya negara kepada masyarakat dan komuniti perniagaan di Guangxi.

Antaranya adalah NKMH Media Sdn Bhd. yang menjadikan program tersebut sebagai  platform untuk mereka memperkenalkan kepakaran dalam perancangan media strategik, pemasaran digital, pengiklanan programatik berasaskan data dan kecerdasan buatan (AI), penerbitan kandungan kreatif serta komunikasi jenama bersepadu. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN