fbpx

Magis, aura Detective Conan: The Scarlet Bullet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KARAKTERISTIK Conan yang cukup berkarisma selaku detektif tetap menjadi daya tarikan utama naskhah terbaharunya.

ANIMASI popular Detective Conan yang merupakan adaptasi daripada manga (komik) judul sama sejak dua dekad lalu terus kekal relevan dalam kalangan peminat setianya sehingga ke hari ini.

Betapa relevannya naskhah popular berkenaan sehingga anime yang memasuki episod ke-1,000 tayangannya pada 13 Mac lalu tersebut tidak pernah memberi bayangan untuk mengibar bendera putih.

Kini, francais popular dari negara Jepun itu muncul dengan buah tangan terbaharu versi filem yang berjudul Detective Conan: The Scarlet Bullet.

SIRI Conan kali banyak terarah kepada kepada watak keluarga Mary Sera dan anak-anaknya.

Mula ditayangkan di pawagam tempatan hari ini, naskhah yang berdurasi sepanjang 111 minit tersebut menjanjikan keterujaan dan keseronokan yang sama seperti siri-siri televisyen dan karya layar lebarnya terdahulu.

Cuma mungkin pada awalnya, penonton akan berasa sedikit keliru untuk mengenal pasti dan mengamati dengan teliti watak-watak yang muncul dalam filem tersebut.

Hal ini kerana naskhah yang diarahkan oleh Chika Nagaoka tersebut tidak begitu ber’kiblat’kan jalan cerita francaisnya yang terdahulu selain menampilkan beberapa watak baharu.

TAMPAN dan dingin, namun bijak, handal mengendalikan senjata serta seorang perisik hebat menjadikan watak Shuichi Akai antara yang paling banyak ditonjolkan dalam filem Detective Conan: The Scarlet Bullet.

Selain itu, filem kali ini lebih menjuruskan perhatian ke arah keluarga Akai iaitu Shuichi Akai, Shukichi Haneda, Masumi Sera dan ibu mereka, Mary Sera.

Biarpun sudah berada dalam industri selama dua dekad dan mempunyai kelompok peminat sangat ramai di seluruh dunia, namun edisi filem kali ini tetap menyelitkan momen menceritakan kisah bagaimana Conan bertukar menjadi seorang kanak-kanak.

Misteri yang sama

Senang cerita, penulis skrip bersikap baik hati untuk memberi jalan mudah kepada penonton baharu supaya tidak keliru dan tertanya-tanya mengapa dia menggunakan alat penukar suara ketika bercakap dengan Ran Mouri.

Jika bercakap soal persembahan pula, layangan animasi, gred warna, pergerakan dan latar belakang yang dipaparkan dalam filem tersebut cukup mengagumkan dengan memaparkan kualiti yang lebih berbanding apa yang dipertontonkan dalam televisyen.

MENERUSI karya kali ini, watak Ran Mouri tidak banyak memainkan peranan.

Gerak-geri aksi dan panorama dalam naskhah tersebut disifatkan ‘sedap mata memandang’, namun pada masa sama masih mengekalkan ‘tema’ utamanya tentang kejadian jenayah yang berunsur misteri dengan motif cukup kompleks.

Seperti biasa, tidak mudah mendapatkan jawapan tentang siapakah penjahat sebenar kerana dari awal jalan cerita, tidak banyak klu yang dibentangkan.

Apapun, tetap watak tiga budak nakal dan comel iaitu Ayumi Yoshida, Mitsuhiko Tsuburaya serta Genta Kojima menyerikan perjalanan cerita dengan keletah mereka yang lucu.

Tidak lengkap tanpa kehadiran mereka meskipun watak tersebut hanyalah sebagai kanak-kanak dan tidak banyak membantu dari segi kelancaran penyelesaian jenayah, tetapi mereka perlu ada untuk menyerikan suasana.

Kesimpulannya, Detective Conan: The Scarlet Bullet menjanjikan keterujaan merasai pengalaman mendebarkan selain paparan aksi menarik daripada Conan dan rakan-rakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI