SHAH ALAM – Pempengaruh, Caprice diperintah membayar ganti rugi RM220,000 kepada Ebit Lew serta-merta selepas Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonannya untuk menangguhkan bayaran itu.
Hakim, Zuhrina Mohamed Nor memerintahkan penyanyi rap atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, mendepositkan wang berkenaan ke dalam akaun peguam Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42.
Mahkamah turut memerintahkan Caprice membayar kos sebanyak RM2,000.
Dalam prosiding hari ini, Ebit diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Fatin Izyan Mazlan manakala Ariz diwakili Mohd. Rezan Ezra Muhammad Mosinal.
Sebelum ini, Caprice diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini untuk memohon maaf dan membayar ganti rugi RM220,000kepada pendakwah bebas, Ebit Lew selepas didapati memfitnah plaintif itu pada 2023.
Caprice juga diperintah memadamkan tujuh kenyataan yang dibuatnya bersama pempengaruh Indonesia, Mondy Tattoo dalam tempoh 48 jam.
Dia juga dilarang mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan berhubung Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42, pada masa akan datang.
Kes berkenaan tercetus selepas Caprice yang juga aktivis kemanusiaan memuat naik rakaman video pada 15 September 2023 dengan menampilkan Mondy sebagai tetamu.
Ebit mendakwa kandungan rakaman itu antara lain membawa maksud beliau melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain melabelnya sebagai tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.
Plaintif mendakwa Caprice selaku defendan pertama menerbitkan rakaman itu secara berniat jahat tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripadanya atau peguamnya.
Penerbitan video berkenaan turut didakwa mengundang pelbagai komen negatif, cacian dan makian daripada pengikut akaun YouTube Caprice terhadap Ebit. – KOSMO! ONLINE
















