GUA MUSANG – Tanaman sara diri seperti ubi kayu, keledek, padi bukit dan sayur-sayuran menjadi bekalan makanan utama penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Bihai di sini, bagi menghadapi musim tengkujuh.
Penduduk mula mengusahakan tanaman tersebut enam hingga lapan bulan lebih awal bagi memastikan bekalan makanan keluarga mencukupi ketika hujan berterusan yang menyebabkan jalan ke penempatan mereka rosak dan berlumpur.
Penduduk Kampung Badak, Adin Andok, 53, berkata, dia bersama 14 ahli keluarga mengusahakan tanaman berkenaan sebagai persediaan menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan makanan dari luar ketika musim tengkujuh.
Katanya, selain ubi kayu, dia turut mengusahakan padi bukit bersama anak lelakinya yang mampu menampung keperluan keluarga bagi tempoh setahun.
“Tanaman ini kami usahakan sebagai persiapan menjelang musim tengkujuh kerana apabila hujan sukar keluar dari kampung untuk mendapatkan bekalan makanan di bandar Gua Musang.
“Padi bukit yang diusahakan keluarga kami cukup untuk bekalan 14 beranak sepanjang tengkujuh. Walaupun bantuan bakul makanan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) disalurkan, tetapi penduduk perlu membuat persiapan sendiri kerana bantuan biasanya tiba selepas musim tengkujuh,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud berkata, penduduk menanam ubi kayu dan sayur-sayuran seperti bendi, terung, petola dan kangkung di sekitar rumah sebagai bekalan makanan ketika musim tengkujuh.
Katanya, keluarga berkemampuan akan membeli barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan biskut di bandar Gua Musang.
“Setiap kali musim tengkujuh, kami memperuntukkan lebih RM600 untuk menyewa kenderaan ke bandar bagi membeli bekalan makanan dan barangan keperluan keluarga.
“Kebanyakan penduduk memilih kawasan berhampiran rumah kerana tanaman di kawasan lain sering dirosakkan babi hutan dan gajah liar,” katanya.
Monsun Timur Laut (MTL) bagi musim 2026/2027 bermula 27 Oktober lalu dan berterusan hingga Mac tahun depan.
Jabatan Meteorologi memaklumkan semasa fasa awal MTL dari November hingga Januari depan, antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka melanda negara.
















