SELEPAS hampir setahun terpalit kontroversi pemalsuan dokumen, tujuh pemain warisan yang digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dilaporkan mendapat lampu hijau untuk kembali beraksi secara kompetitif.
Penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan terhadap pemain terbabit susulan isu pemalsuan dokumen ketika memohon status pemain warisan Harimau Malaya dilaporkan berakhir secara rasmi pada Sabtu lalu.
Empat daripada tujuh pemain berkenaan kini bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) seperti Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero.
Lebih menarik, kelibat Irazabal serta Figueiredo dilihat sudah mengikuti skuad Harimau Selatan ke Korea Selatan menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Jeonbuk Hyundai Motors, esok.
Sementara itu, Rodrigo Holgado dijangka menyertai kelab Brunei, DPMM FC, manakala Imanol Machuca sudah bersama kelab Argentina, CA Independiente dan Facundo Garces kekal bersama kelab Sepanyol, Deportivo Alaves.
Menerusi surat pekeliling Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang tular di media sosial, badan pengelola liga negara itu turut mengesahkan tujuh pemain terbabit sudah dibenarkan terlibat dalam aktiviti bola sepak bermula semalam.
Sebagai rekod, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain terbabit, namun mengehadkan pelaksanaannya kepada perlawanan rasmi serta membenarkan mereka menjalani latihan bersama pasukan.
Mengikut garis panduan MFL, pemain yang memiliki kad pengenalan dan pasport Malaysia boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan oleh kelab, sekali gus tidak perlu menggunakan kuota pemain import.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan sebelum ini mengesahkan kesemua pemain terbabit tidak lagi dibenarkan untuk mewakili Harimau Malaya selepas dihukum FIFA.
















