fbpx

Penduduk Mersing bertenang jangan panik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MERSING – Penduduk daerah ini diminta supaya bertenang dan jangan panik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan semalam yang hanya melibatkan dua mukim sahaja.

Pegawai Daerah Mersing, Mohd. Radzi Mohd. Amin berkata, hanya Mukim Endau serta Mukim Triang sahaja yang terlibat dan bukannya keseluruhan daerah seperti yang ditularkan.

“Terdapat salah faham berkenaan isu tersebut sehinggakan ada pihak yang beranggapan keseluruhan daerah Mersing terlibat dengan PKP yang bermula 20 April hingga 3 Mei 2021.

“Seperti apa yang telah dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, PKP terpaksa dilaksanakan di kedua-dua mukim ini kerana penularan kes Covid-19 membabitkan Kluster Kampung Air Batang di kedua-dua lokaliti terbabit.

“Saya minta penduduk daerah ini supaya bertenang dan jangan panik dan teruskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Radzi berkata, beliau juga meminta kerjasama penduduk daerah ini untuk terus membantu pentadbiran daerah dalam mengembalikan status daerah Mersing sebagai daerah hijau seperti sebelum ini.

Katanya, beliau juga optimis wabak berkenaan akan dapat diatasi dengan sebaiknya di dua kawasan mukim berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI