fbpx
ORANG ramai boleh mendengar alunan bacaan al-Quran, doa, ceramah motivasi dan kisah para nabi yang dapat memulihkan semangat menerusi aplikasi Mindful Muslim.–Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI

Terapi ketenangan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEKANAN di tempat kerja ditambah lagi dengan masalah peribadi membuatkan Aisyah Hamid, 29, sering berasa resah serta stres sehingga sukar untuk tidur pada waktu malam.

Keadaan itu berlarutan sejak sekian lama sehingga dia mencuba pelbagai cara demi meraih ketenangan diri dan tidur yang nyenyak seperti menggunakan minyak aromaterapi selain senaman.

Namun, keadaan masih sama sehinggalah baru-baru ini dia secara tidak sengaja terlihat aplikasi Mindful Muslim lantas memuat naiknya di telefon bimbit.

“Sejak menggunakan aplikasi ini selama hampir tiga bulan, saya dapat merasakan perubahan yang sangat ketara.

“Saya berasa lebih tenang, bersemangat dan mudah untuk tidur,” katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang kepada K2.

Tambah Aisyah, dia paling suka mendengar perkongsian ceramah motivasi dan kisah-kisah para Nabi yang membantu menaikkan semangat.

APLIKASI ini dilancarkan pada tahun lalu.

Dia turut tertarik dengan bunyi alam semula jadi seperti hujan, ombak dan air terjun yang menggantikan muzik.

Sudah menjadi rutinnya sebelum tidur akan mendengar bacaan al-Quran, doa rukyah dan ceramah motivasi daripada Mindful Muslim, aplikasi penenang jiwa berkonsepkan Islam pertama di dunia itu.

Usai bangun tidur pula dia akan mendengar ceramah motivasi pagi untuk memulakan hari dengan penuh semangat menerusi aplikasi tersebut.

Sementara itu, menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Mindful Muslim, Mohamad Akhtaar Abdul Ghani, aplikasi yang telah dilancarkan pada tahun lalu itu kini mempunyai 50,000 pengguna di serata dunia.

“Objektif utama pembangunan aplikasi ini adalah untuk membantu meningkatkan kesihatan mental umat Islam yang berdepan pelbagai cabaran pada masa kini dengan elemen Islamik.

“Saya melihat tidak ada aplikasi seumpama ini yang berkonsep Islamik lantas ia telah mendorong pihak kami untuk menyediakan platfrom Mindful Muslim bagi membantu umat Islam seluruh dunia dalam mendepani masalah tekanan jiwa,” tutur anak kelahiran Singapura itu ketika dihubungi K2.

Menceritakan idea membangunkan aplikasi tersebut, Mohamad Akhtaar memberitahu, ia bermula apabila dirinya berasa tertekan dengan kerja yang terlalu banyak dan memenatkan.

Ekoran itu, dia mencari platform untuk meredakan tekanan tetapi tidak menjumpai yang berkonsep Islamik dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

“Beban kerja yang terlalu banyak dan melayani pelbagai kerenah pelanggan membuatkan saya berasa tertekan sehingga sukar tidur.

“Sehubungan itu, saya cuba mencipta sesuatu sebagai terapi untuk diri sendiri dan menyedari bahawa perkara ini perlu diperluaskan kerana ia sangat berguna untuk membantu saudara Islam memulihkan semula emosi mereka,” jelasnya yang juga merupakan Pengarah Agensi Pemasaran Digital di ALQ Creative Pte. Ltd.

PELBAGAI elemen yang dapat menguatkan semangat dan mengurangkan keresahan dimuatkan dalam aplikasi ini.

Mohamad Akhtaar juga merupakan individu yang bertanggungjawab menerbitkan naskhah Motivational Moments 500 by Mufti Menk.

Mindful Muslim mempunyai beberapa ciri istimewa iaitu bacaan ayat suci al-Quran, zikir, kisah-kisah para Nabi, ceramah motivasi, bacaan rukyah, doa-doa khas untuk menghilangkan tekanan dan pelbagai bunyian alam semula jadi.

“Aplikasi ini mempunyai 51 kisah para Nabi dan setiap bulan akan dimuat naik tujuh cerita baharu.

“Pengguna boleh mendengar cerita ini dengan diiringi pelbagai pilihan bunyi alam semula jadi mengikut cita rasa masing-masing yang akan membuatkan perasaan berasa tenang,” ulasnya yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Komunikasi di Auckland University of Technology (AUT), New Zealand.

Mohamad Akhtaar berkata, menerusi kisah-kisah dan ceramah motivasi yang santai itu mengajar kita untuk lebih kuat, sabar dan yakin bahawa setiap ujian itu mempunyai hikmah tersembunyi.

Pengguna boleh memilih pelbagai surah, doa, ceramah motivasi serta kisah para Nabi untuk diletakkan di dalam senarai pemain dan mendengarnya sebelum melelapkan mata pada waktu malam.

Menariknya, aplikasi tesebut juga mempunyai versi suara wanita dan lelaki agar pengguna boleh mendengarnya dengan lebih selesa mengikut jantina masing-masing.

MOHAMAD AKHTAAR membangunkan aplikasi Mindful Muslim berdasarkan pengalaman lalu yang turut dihimpit tekanan dalam pekerjaan.

Aplikasi itu boleh dilayari secara percuma selain mempunyai kandungan premium yang boleh dilanggan pada harga AS$3.90 (RM16.09) sebulan.

Menurutnya, kebanyakan pengguna Mindful Muslim terdiri daripada wanita berusia 25 hingga 35 tahun yang tertekan ekoran pelbagai perkara seperti pekerjaan dan urusan rumah tangga selain golongan saudara baharu.

Anak tunggal itu cukup terharu dengan sokongan diberikan orang bukan Islam di New Zealand dalam membantu membangunkan aplikasi tersebut terutama daripada Flying Kiwi Angels dan AUT.

Dalam pada itu, salah seorang Pengurus Kandungan Mindful Muslim, Asheera Ismail berkata, aplikasi tersebut dibangunkan bersama 16 penyelidik yang turut berperanan sebagai penulis dan membuat voice over.

“Kami telah melakukan banyak tinjauan dan membuat temu bual bersemuka untuk memahami apa yang diperlukan oleh umat Islam bagi meningkatkan kesihatan mental.

“Membangunkan aplikasi ini agak mencabar pada peringkat awal terutama ketika membuat koordinasi dengan penyelidik yang berada di pelbagai negara, begitu juga untuk mencari ciri-ciri bagi dimuat naik di dalam Mindful Muslim,” kata anak kelahiran New Zealand itu.

Jelasnya, proses pengembangan kandungan itu memerlukan sesi perbincangan dengan pasukan penyelidik yang tinggal di pelbagai negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, New Zealand, Singapura dan India.

Setiap penulis akan meneliti topik diberikan untuk mencari ayat-ayat al-Quran dan hadis berkaitan.

“Mereka akan menulis ceramah motivasi mengikut garis panduan seperti dibincangkan untuk memastikan penceritaan memenuhi syarat ditetapkan oleh Mindful Muslim. Selepas itu, bahan-bahan tersebut akan dihantar kepada saya untuk disemak dan dipersetujui sebelum melakukan voice over oleh artis serta jurutera bunyi,” tuturnya yang berpengalaman sebagai guru, kaunselor dan penulis.

Aplikasi tersebut kini boleh didapati dalam versi bahasa Inggeris dan bakal diperluaskan dalam bahasa Melayu dan Arab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN