KUALA LUMPUR – Pendengaran kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony atas pertuduhanmenggunakan dokumen palsu, ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas tertuduh dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Peguam Datuk D. Senthinathan yang mewakili Anthony ketika memohon penangguhan perbicaraan memaklumkan bahawa anak guamnya dikuarantin selama 10 hari bermula 16 hingga 26 April ini.
Hakim Azura Alwi menetapkan perbicaraan didengar pada 3 dan 4 Mei ini.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihaknya tiada bantahan terhadap penangguhan sambil berseloroh memohon mahkamah menetapkan tarikh-tarikh lain sekiranya berlaku kemungkinan pihak-pihak lain yang dikuarantin gara-gara Covid-19.
Azura kemudian menetapkan tarikh-tarikh selanjutnya iaitu pada 19 Mei, 26 dan 27 Julai, 23 dan 27 Ogos, 29 dan 30 September, 28 dan 29 Oktober serta 15 dan 16 November ini.
Dalam pada itu, Wan Shaharuddin turut memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi keterangan pada salah satu tarikh pada bulan Mei.
Ujarnya, turut dipanggil semula memberi keterangan ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi untuk disoal balas oleh pihak pembelaan. -K! ONLINE














