PETALING JAYA – “Long, seronok sangat ke diving (menyelam) kali ini sampai tinggalkan Yati.”
Demikian luahan pilu seorang wanita selepas kakaknya, Siti Nuraini Rusidi, 40, dilaporkan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti selam skuba di perairan Crystal Bay, Nusa Penida, Bali, Indonesia semalam.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, wanita itu yang menggunakan akaun @ytt.afq turut memohon agar urusan membawa pulang jenazah kakaknya ke negara ini dipermudahkan.
“Ya Allah, permudahkan urusan kakak saya dibawa pulang ke Malaysia. Al-Fatihah.
“Long, syurga tertinggi untuk Along sebab selalu memudahkan semua orang. Ramai sangat nak bantu Along, mudah sangat urusan Along. Semua orang cerita kebaikan Along,” tulisnya.
Wanita itu turut memuat naik poster takziah yang memaklumkan Siti Nuraini meninggal dunia semalam.
Terdahulu, media tempatan Indonesia melaporkan Siti Nuraini menyertai aktiviti selam skuba bersama rombongan di dua lokasi perairan Nusa Penida iaitu Manta Bay dan Crystal Bay.
Rombongan itu dilaporkan memulakan aktiviti kira-kira pukul 8 pagi waktu tempatan sebelum meneruskan aktiviti ke Crystal Bay kira-kira pukul 11 pagi.
Ketika penyelaman di Crystal Bay, rombongan tersebut dilaporkan berdepan arus kuat sehingga tiga penyelam lain dihanyutkan arus.
Mangsa kemudian ditemukan bersama kumpulan penyelam lain dan dilaporkan memberi isyarat kehabisan oksigen sebelum dibantu seorang jurupandu untuk naik ke permukaan.
Setibanya di atas bot, mangsa dilaporkan mengeluarkan buih dari hidung dan mulut namun masih memberikan respons sebelum dibawa untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa kemudian dilaporkan tidak lagi memberikan respons dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari Crystal Bay menuju ke Dive Concepts Lembongan.
Jenazah seterusnya dibawa ke Rumah Sakit Bali Mandara untuk tindakan lanjut.- KOSMO! ONLINE
















