PETALING JAYA – Ibu bapa berharap anak masing-masing dibenarkan meneruskan cuti sekolah ekoran situasi jerebu yang semakin membimbangkan di kawasan Lembah Klang.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Adiazwari berkata, keadaan jerebu di sekitar Kuala Lumpur dilaporkan semakin teruk hari ini.
Dia yang menetap di Sentul berkata, tinjauan setakat tengah hari tadi mendapati bangunan pencakar langit seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara KL (KL Tower) dan TRX lenyap.
“Selamat hari Malaysia, hari ini jerebu makin teruk ya. KLCC, KL Tower, TRX semua tak nampak, jadi silent hill (bukit suram) dah.
“Harap anak kecil boleh sambung cuti sekolah dan bekerja dari rumah sampai hujung minggu. Kita jaga kita,” tulis individu itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi situasi jerebu di sekitar ibu negara yang dikatakan semakin membimbangkan.
“Ye Batu Caves (Gombak) pun tak nampak. Kalau biasa nampak sampai Genting Highlands. Tak tahulah Indonesia sengaja tak nak padam ke api,” tulis Shah Badrun.
Turut meninggalkan komen seorang lagi pengguna dikenali sebagai Zbcurtain_bilnds.
“Jangan bawa anak-anak keluar, udara teruk sekarang,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebanyak 38 kawasan di seluruh negara kekal merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat petang ini dengan Johan Setia, Selangor mencatat bacaan tertinggi iaitu 184.
Berdasarkan paparan Sistem Pengurusan Kualiti Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 2 petang, Cheras merekodkan bacaan IPU 177, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (173), Putrajaya dan Shah Alam (172), Batu Muda, Kuala Lumpur (171). – KOSMO! ONLINE
















