MELAKA – “Terima kasih kepada kawan-kawan yang selalu tolong saya angkat beg sekolah dan kerusi.”
Itu luahan Muhammad Harraz Danial Mohamad Hairul Helmi, 10, yang kini semakin yakin meneruskan kehidupan selepas kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya di Jempol, Negeri Sembilan pada Februari tahun lalu.
Menurut Harraz, sokongan rakan-rakan di sekolah banyak membantunya menyesuaikan diri selepas melalui perubahan besar dalam hidup, malah dia tidak pernah berasa dipinggirkan.
Katanya, walaupun menggunakan kaki palsu, dia kini sudah mampu menjalani rutin harian seperti biasa dan menganggap dirinya sama seperti kanak-kanak lain.
“Kalau orang pandang pun saya okey. Saya normal sahaja. Saya nak belajar di luar negara dan tengok ruang angkasa. Kalau orang kata saya serba kekurangan, tak apa,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Seri Bertam, di sini.
Ibunya, Nurul Zakiah Mohd. Suib, 37, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu mengambil masa hampir tiga bulan untuk menerima keadaan dirinya sebelum menunjukkan perubahan positif selepas menjalani fisioterapi dan kaunseling.
Katanya, pada awalnya Harraz sering menangis dan mempersoalkan mengapa dirinya diuji sedemikian rupa berbanding dua sepupunya yang turut terbabit dalam kemalangan sama.
“Dulu dia selalu tanya, ‘Kenapa Allah uji abang macam ini? Kenapa orang lain okey, abang tak okey? Kenapa dua orang itu lagi okey, abang kaki dah tak ada?’,” kongsinya.
Mengimbau kembali kejadian, Nurul Zakiah berkata, nahas berlaku ketika Harraz membonceng motosikal bersama dua sepupunya untuk pulang selepas menghadiri kenduri di Jempol.
Katanya, ketiga-tiga mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Hilux dan kaki kanan Harraz terpaksa dipotong sehingga bawah lutut selepas mengalami kecederaan parah, selain besi dipasang pada bahagian pahanya.
“Pada awalnya saya berasa bimbang sekiranya Harraz berdepan masalah keyakinan diri sehingga terfikir untuk mencari sekolah sesuai untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
“Tapi sokongan guru dan rakan-rakan membuatkan saya meneruskan Harraz di sekolah sama apabila melihat dia diterima baik malah dibantu dalam urusan harian,” katanya.
Terdahulu, semangat Harraz turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang hadir menyantuni dan menyampaikan bantuan sebagai tanda sokongan terhadap kanak-kanak itu. – KOSMO! ONLINE
















