fbpx
Fadhlina.

Pendidikan perlu sampai kepada setiap anak – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia bukan sekadar sebuah negara yang terbentuk daripada wilayah, kaum, budaya dan agama berbeza, sebaliknya perlu memastikan setiap anak mempunyai peluang untuk membina masa depan menerusi pendidikan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pendidikan perlu sampai kepada setiap anak tanpa mengira tempat mereka membesar, sama ada di tengah kota mahupun di kawasan yang dikelilingi rimba dan sungai.

Beliau berkata, perkara itu menjadi antara perkara difikirkannya selepas dipertemukan semula dengan dua anak yang pernah ditemuinya jauh di kawasan rimba baru-baru ini.

“Seorang hari ini sudah berada di Institut Pendidikan Guru, mempersiapkan diri untuk menjadi seorang guru dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling.

“Seorang lagi di Sekolah Menengah Sains Gua Musang sebagai seorang pelajar Sekolah Berasrama Penuh yang insya-Allah bakal mencipta pelbagai kejayaan. Kedua-duanya membuatkan saya memikirkan makna Malaysia dengan lebih dalam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata, Malaysia mempunyai anak-anak yang membesar dalam persekitaran berbeza, namun mereka tetap berhak mendapat akses kepada pendidikan.

“Malaysia mesti menjadi negara di mana asal seorang anak tidak menentukan sejauh mana dia boleh pergi. Terbanglah sejauh-jauhnya anak-anak. Malaysia ini milik kalian,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN