KULIM – Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) baharu bagi menggantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib pada 27 Julai lalu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses itu telah disempurnakan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) termasuk mendapatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim seperti yang dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, beberapa nama telah dibincangkan sebelum SPP melaksanakan proses seterusnya bagi menentukan calon yang sesuai untuk jawatan tersebut.
“Untuk dua jawatan iaitu KPN dan Timbalan KPN, Perlembagaan menghendaki prosesnya mendapat pandangan daripada Yang di-Pertuan Agong. Jadi proses itu telah kita sempurnakan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat tapak Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Kampung Badlishah/Ayer Putih di Junjong, di sini hari ini.
Menurut beliau, susulan itu, pengumuman berhubung jawatan Timbalan KPN akan dibuat dalam masa sesingkat mungkin.
“Bagi (jawatan) KPN, KPN masih lagi memegang jawatan sesuai dengan kontraknya yang masih ada. Jadi yang kita buat keputusan adalah Timbalan KPN. Sehari dua ini kita akan umumkan,” ujarnya.
Mengulas calon yang layak dipertimbangkan, beliau berkata, semua pegawai berpangkat Komisioner Polis (CP) mempunyai peluang untuk dipilih menjawat jawatan berkenaan.
Katanya, terdapat 25 pegawai berpangkat CP selain tiga lagi yang mendapat pangkat itu menerusi kuota khas, menjadikan keseluruhan 28 pegawai yang layak dipertimbangkan.
“Semua layak. Dalam kelompok itulah nama yang kita persembahkan kepada Tuanku melalui proses yang dikehendaki Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
















