fbpx
SOPHIAN menunjukkan surat daftar kelahiran Nurmasqiah yang kini berada dalam penjagaan mereka di Taman Sri Impian, Kluang.

11 tahun menanti kepulangan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Sepasang suami isteri mencari sahabat karib mereka yang menyerahkan anak perempuannya untuk dijaga selepas dilahirkan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini 11 tahun lalu.

Sophian Rohani, 48, berkata, wanita dikenali sebagai Fahazila Fathilah, 46, menyerahkan bayi perempuan yang dilahirkannya, Nurmasqiah Abdul Rahim, 11, kepada isterinya, Rodjia, 49, sehari selepas dilahirkan pada 19 Mac 2015.

Menurutnya, Fahazila ketika itu memberitahu tidak mampu menyara kehidupan bayinya berikutan masalah kewangan selain perlu mencari pekerjaan sebelum kembali mengambil semula anak berkenaan.

“Percaya dengan janji tersebut, kami bersetuju menjaga bayi berkenaan tanpa sebarang perjanjian rasmi dan penyerahan itu hanya disertakan dengan surat daftar kelahiran.

“Pada awalnya, Fahazila yang ketika itu tinggal di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, kerap datang menjenguk anaknya di rumah kami di Taman Sri Impian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas setahun wanita itu mula sukar dihubungi dan usaha menjejakinya gagal.

Menurut Sophian, Nurmasqiah yang kini berusia 11 tahun memerlukan dokumen berkaitan bagi membolehkannya mendapatkan kad pengenalan dan me­lanjutkan pengajian.

“Bagaimanapun, urusan mendapatkan kad pengenalan tidak dapat diproses dengan hanya memiliki surat daftar kelahiran tanpa pengesahan daripada ibu kandungnya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Fahazila diminta menghubungi Sophian di talian 018-772 6587.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN