fbpx
Aedy Fadly

JPJ sedia beri kerjasama bantu siasatan kes dokumen palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam salah laku mengemukakan dokumen palsu bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya menyerahkan kepada agensi berkenaan serta proses perundangan yang berkuat kuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.

“Kerjasama antara SPRM dan JPJ akan terus diperkukuh khususnya dalam aspek perkongsian maklumat, pencegahan rasuah dan salah laku serta pemantapan integriti dan tadbir urus jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, JPJ sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan SPRM dalam mengenal pasti sebarang kelemahan atau ruang yang boleh membuka peluang kepada penyelewengan dan penyalahgunaan sistem.

“Langkah penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan bagi memastikan kelemahan yang dikenal pasti dapat ditangani.

“Tindakan tegas ini selaras dengan komitmen JPJ untuk memastikan tadbir urus penguatkuasaan yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan enam anggota JPJ bersama lima ejen direman SPRM Perak bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai berpakat mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik melibatkan 16 nombor pendaftaran kenderaan.

Perbuatan itu dipercayai berlaku sekitar tahun 2025 apabila ejen-ejen terbabit disyaki bersekongkol dengan penjawat awam bagi mengemukakan dokumen tidak sah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN