KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun, tiga tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 59 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol anak perempuan tirinya di sebuah kedai di daerah Kuala Nerus pukul 4.30 petang pada Julai 2013.
Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa yang sama di sebuah kedai lain di daerah Kuala Nerus pukul 12 tengah hari pada Disember 2013.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga prosiding selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Oktober ini. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli. – KOSMO! ONLINE
















