PETALING JAYA – Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta digantung sementara hari ini susulan peningkatan aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau.
Menurut notis perjalanan dikeluarkan pihak lapangan terbang, penggantungan operasi penerbangan itu berkuat kuasa sehingga pukul 5.30 petang waktu tempatan, hari ini.
Langkah berkenaan diambil sebagai langkah keselamatan berikutan peningkatan aktiviti erupsi gunung berapi berkenaan yang berpotensi memberi kesan terhadap operasi penerbangan.
“Disebabkan peningkatan aktiviti letusan di Gunung Anak Krakatau, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta menggantung sementara operasi penerbangan sehingga pukul 5.30 petang.
“Penumpang dinasihatkan supaya sentiasa memeriksa status penerbangan masing-masing dan menghubungi syarikat penerbangan secara terus untuk mendapatkan maklumat terkini sebelum menuju ke lapangan terbang,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pihak lapangan terbang turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul susulan situasi berkenaan dan meminta orang ramai memberikan kerjasama.
Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera dilaporkan mengalami peningkatan aktiviti erupsi hari ini sehingga memberi kesan terhadap operasi penerbangan.
Aktiviti letusan gunung berapi itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap penyebaran abu vulkanik di ruang udara yang boleh mendatangkan risiko kepada pesawat, sekali gus menyebabkan pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga.
Gunung Anak Krakatau merupakan gunung berapi aktif yang terbentuk selepas letusan besar Krakatau pada 1883 dan sehingga kini terus dipantau secara intensif oleh pihak berkuasa Indonesia.- KOSMO! ONLINE
















