fbpx
Eunice Wong merupakan finalis pertandingan ratu cantik, Miss Universe Malaysia 2026.

Kisah jamah makanan di tandas, aspirasi ratu cantik Eunice Wong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik keyakinan seorang wanita yang kini selesa berada dalam dunia kewangan, Web3, kripto dan automotif, tersimpan kisah masa lalu yang cukup perit ditelan.

Calon Miss Universe Malaysia 2026, Eunice Wong, pernah melalui zaman persekolahan yang membuatkan dirinya berasa begitu terasing sehingga sanggup menghabiskan waktu rehat di dalam tandas kerana disisihkan oleh rakan sebaya.

Lebih menyedihkan, keadaan itu berlarutan hampir setahun.

“Saya tidak pernah benar-benar mempunyai kawan perempuan sepanjang hidup saya, termasuk ketika di sekolah. Saya lebih banyak terasing.

Eunice Wong, 37, menganggap penyertaan Miss Universe Malaysia sebagai peluang untuk membuktikan wanita Malaysia juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ketika sekolah menengah, saya dibuli dengan teruk. Saya masih ingat, ada satu tahun saya makan tengah hari dan menghabiskan waktu rehat di dalam tandas. Seteruk itu keadaan ketika itu,” katanya.

Pengalaman tersebut bukan sekadar meninggalkan luka zaman kanak-kanak, malah secara tidak langsung membentuk wanita yang dilihat hari ini sebagai seorang yang begitu selesa berada dalam dunia yang didominasi lelaki.

Daripada perlumbaan kereta kepada kewangan, perdagangan saham dan Web3, Eunice memilih ruang yang jauh daripada stereotaip wanita dan membina namanya sendiri.

“Saya rasa pengalaman itu sebahagiannya menjadi sebab saya memilih industri yang didominasi lelaki.

“Saya pernah rasa sangat sakit dan ditolak oleh wanita. Semasa kecil, saya selalu tertanya-tanya kenapa mereka menolak dan mengasingkan saya sedangkan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya.

Namun, Eunice tidak melihat segala pengalaman pahit itu sebagai kelemahan. Sebaliknya, ia menjadi bahan bakar yang mendorong dirinya mencari tempat untuk membuktikan kemampuan.

“Saya rasa salah satu sebab terbesar saya menjadi berjaya adalah kerana sejak kecil saya sentiasa mempunyai kemarahan itu. Saya selalu tertanya-tanya, kenapa kamu menolak saya? Kenapa kamu mengasingkan saya?

“Mungkin sebab itu saya sentiasa mencari tempat untuk saya rasa saya benar-benar diterima,” katanya.

Latar belakang

Hari ini, selepas bertahun-tahun membina kehidupan dan kerjaya di luar Malaysia, Eunice membuat keputusan yang mungkin tidak pernah dibayangkan ketika zaman persekolahannya — menyertai Miss Universe Malaysia.

Menariknya, wanita berusia 30-an itu langsung tidak mempunyai latar belakang dalam dunia pertandingan ratu cantik.

Malah, dia mengakui tidak pernah mengikuti Miss Universe Malaysia sebelum ini.

“Saya tiada latar belakang pertandingan ratu cantik. Kebanyakan perkara yang saya lakukan lebih maskulin seperti perlumbaan kereta, perdagangan dan kewangan.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya kembali kepada sisi diri saya yang lebih lembut,” katanya.

Keputusan itu juga tidak lahir daripada perancangan bertahun-tahun.

Semuanya berlaku secara spontan selepas Eunice ditawarkan untuk menyertai satu lagi pertandingan sebelum menyedari bahawa jika dia sudah bersedia melaburkan masa, wang dan tenaga, lebih baik dia terus mencabar pentas yang lebih besar.

“Saya fikir, kalau saya tetap akan menghabiskan jumlah wang dan usaha yang sama, kenapa saya mahu buat sesuatu yang kecil? Jadi, ayuh terus pergi kepada yang besar.

“Apabila saya tahu permohonan Miss Universe Malaysia dibuka, saya terus memohon. Semuanya berlaku begitu pantas,” katanya.

Persepsi

Namun, penyertaan dalam pertandingan itu turut memaksa Eunice menilai semula persepsinya terhadap dunia pageantry.

Sebelum ini, dia mengakui pernah mempunyai tanggapan bahawa wanita yang menyertai pertandingan ratu cantik hanya bergantung kepada kecantikan.

“Saya selalu fikir wanita yang menyertai pertandingan ratu cantik hanyalah gadis yang ada kecantikan tetapi tidak mempunyai otak.

“Saya akui saya salah. Dunia pageantry hari ini sudah banyak berubah. Kita perlukan wanita yang mempunyai kecantikan, kecerdasan, pengalaman dan sumbangan,” katanya.

Atas sebab itu, Eunice tidak melihat mahkota sebagai matlamat utama.

“Bagi saya, Miss Universe bukan sekadar mahkota. Mahkota itu hanya simbol.

“Ia adalah platform untuk mencipta perubahan yang bermakna dan positif. Bagi diri saya sendiri, ia juga perjalanan peribadi yang banyak mengajar saya dan membantu saya berkembang,” noktah anak jati kelahiran Johor Bahru itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN