fbpx
Empat warga Indonesia dituduh di Mahkamah Sesyen Seri Manjung hari ini atas pertuduhan menyeludup 104 PATI di daerah ini pada 18 Ogos lalu.

Empat warga Indonesia dituduh seludup 104 PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Seramai empat lelaki warga Indonesia masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen Seri Manjung di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 104 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Manjung pada 18 Ogos lalu.

Di hadapan Hakim Azizah Ahmad, tiga tertuduh iaitu Adi Warman, 36, yang berperanan sebagai tekong bot dan Gading, 31, serta Rafiernanda, 19, pembantu tekong didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama menjalankan penyeludupan 64 migran warga Indonesia pada pukul 4.30 pagi, 18 Ogos lalu di perairan Pulau Talang, Manjung kira-kira 0.3 batu nautika dari Pulau Talang.

Sementara itu, Yunus Saputra, 30, pula dituduh pada pukul 8 pagi, 18 Ogos lalu di tepi pantai hutan kuari Sungai Batu, Manjung menjalankan penyeludupan 38 migran warga Indonesia dan dua warga Vietnam.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memahami pertuduhan tersebut dan tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anisah Pisol. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN