TANJUNG MALIM – Sinergi Proton dan Geely telah memperkukuh ekosistem automatif negara selain membuka peluang pekerjaan kepada 9,700 individu yang memberikan kesan katalis kepada ekonomi negara.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kapasiti pengeluaran kenderaan jenama Proton telah mencecah lebih 150,000 buah setahun yang membuktikan kerberhasilan kerjasama strategik tersebut.
“Ini antara contoh yang sentiasa tekankan kepada pengeluar kereta. Bila datang ke negara ini, bukan hanya nak jual kereta tetapi bersama ekosistem sedia ada,” katanya kepada pemberita di Kilang Kenderaan Elektrik (EV) Proton, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan pencapaian penting dalam usaha lokalisasi iaitu pelancaran pengeluaran kereta Proton e.MAS 7 PHEV secara pemasangan tempatan (CKD).
Katanya, kerjasama tersebut jelas membantu pemain dan usahawan tempatan berkaitan komponen pembuatan dengan mewujudkan peluang pekerjaan serta manjana keuntungan.
“Contoh Proton punya sumbangan cukai kepada negara kini mencecah RM806 juta, cukai korporat, duti eksais dan duti import. Jadi semua ini akan manfaatkan negara.
“Satu industri yang boleh bagi kesan pengganda yang besar tapi dengan syarat semua mesti ada pemikiran bahawa kita nak pelabur datang dalam negara dan dia (pelabur) sedia bekerjasama,” katanya.
Jelasnya, pelaburan ideal bukan berkonsepkan datang melabur ke negara ini, tetapi membunuh industri yang sedia bertapak.
“Contoh, Proton tidak ada peluang meningkatkan pengeluaran dari segi teknologi sedia ada. Jadi Geely ada teknologi yang dikongsi dengan Proton, kemudian harta intelek tertentu didaftarkan di Malaysia.
“Perkongsian macam ini, orang panggil ia perkongsian sebenar (true partnership). Bukan datang hanya nak eksport kereta. Sebenarnya kereta ini bukan satu barangan keperluan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














