fbpx
POGACAR meraikan kemenangan pada peringkat ketiga Tour de France 2026 di Les Angles yang membolehkannya merampas jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan sekali gus mengukuhkan misi memburu gelaran kelima. – AFP

Pogacar mula catur dominasi TdF 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GRANOLLERS, Sepanyol – Juara bertahan, Tadej Pogacar memulakan kempen mempertahankan gelaran Tour de France 2026 (TdF) dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan pada peringkat ketiga sekali gus merampas jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan kelmarin.

Bintang Slovenia berusia 27 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga pada penghujung perlumbaan apabila melakukan pecutan sekitar 500 meter sebelum garisan penamat untuk menewaskan pencabar utamanya dari Denmark, Jonas Vingegaard, selepas mengharungi laluan sejauh 195.9 kilometer dari Granollers ke Les Angles.

Kemenangan tersebut membolehkan Pogacar mengutip bonus masa yang cukup untuk menyamai catatan masa Vingegaard sebelum mengambil alih kedudukan pendahulu keseluruhan menerusi kelebihan kiraan masa, sekali gus menyarung jersi kuning buat kali pertama pada edisi kali ini.

Rakan sepasukannya daripada UAE Team Emirates-XRG, Isaac del Toro, memainkan peranan penting apabila mengetuai kayuhan Pogacar pada pendakian terakhir sebelum pelumba Slovenia itu melancarkan serangan yang gagal disahut oleh Vingegaard dan pelumba muda Perancis, Paul Seixas.

Keadaan cuaca yang terlalu panas turut menjadi cabaran utama apabila suhu di kawasan Pyrenees menghampiri 40 darjah Celsius, malah pihak penganjur turut menasihatkan penyokong supaya menjauhi kawasan penamat di Les Angles berikutan ancaman kebakaran hutan.

Selepas perlumbaan, Pogacar mengakui bantuan Del Toro menjadi faktor utama yang membolehkannya menghasilkan serangan penentu pada penghujung perlumbaan.

“Saya mendapat tenaga tambahan pada penghujung perlumbaan kerana Del Toro memberikan lebih daripada 100 peratus pada pendakian terakhir. Kami percaya kemenangan peringkat masih boleh diburu dan saya gembira semuanya menjadi kenyataan,” katanya.

Pogacar turut mengakui menyarung jersi kuning sentiasa memberikan perasaan istimewa biarpun sudah beberapa kali menikmati detik tersebut sepanjang kariernya.

“Memakai jersi kuning adalah impian setiap pelumba. Setiap kali saya dapat memakainya, ia tetap memberikan perasaan yang sangat istimewa,” ujarnya.

Pogacar kini berada di landasan terbaik untuk memburu gelaran kelima Tour de France dalam kariernya. Jika berjaya, beliau akan menyamai rekod lima kejuaraan yang dipegang legenda berbasikal dunia seperti Jacques Anquetil, Eddy Merckx, Bernard Hinault dan Miguel Indurain, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pelumba terhebat sepanjang zaman. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN