KLUANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan DUN Mahkota dan Mengkibol melahirkan rasa kesal terhadap kejadian merosakkan bahan kempen parti itu yang dipasang di Chung Hwa di sini.
Zuhan Zain berkata, kejadian disedari kira-kira pukul 8 pagi itu membuatkan pihaknya kecewa apabila melihat papan tanda serta bendera parti dirosakkan serta dibuang ke dalam longkang.
Katanya, perbuatan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam suasana demokrasi yang matang dan seharusnya menjadi medan persaingan idea serta hujah, bukan ruang untuk merosakkan atau menjatuhkan pihak lain dengan cara yang tidak beradab.
“Saya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak, namun kejadian seperti ini wajar diberi perhatian serius agar perubahan sikap dapat dipupuk, khususnya di kawasan Kluang, demi memastikan budaya politik yang lebih sihat dan bertamadun.
“Semua pihak perlu menunjukkan kematangan dalam berpolitik dan menghormati proses pilihan raya,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat bagi mengelakkan ia tidak berulang serta tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian daripada wakil calon, Chong Shu Chyuan. – KOSMO! ONLINE














