Penyakit malaria bukanlah baharu di negara ini, malah hampir semua orang mengetahuinya. Ketika ini, demam malaria semakin jarang diperkatakan oleh masyarakat berbanding demam denggi.
Hakikatnya, penyakit malaria tidak boleh dipandang remeh kerana boleh menyebabkan demam yang berlarutan dan berulang mengikut kitaran hari.
Suhu badan yang naik dan turun secara berkala merupakan petanda jelas jangkitan daripada parasit telah berlaku.
Sebelum ini, Malaysia berjaya merekodkan status sifar kes malaria bagi jangkitan tempatan selama beberapa tahun.
Bagaimanapun, peningkatan kes jangkitan melibatkan kes import (warga asing) serta jangkitan jenis zoonotik (daripada haiwan) baru-baru ini telah meletakkan semula negara dalam status fasa kawalan.
Ini adalah amaran awal kepada masyarakat bahawa penyakit malaria sebenarnya masih wujud, dan boleh menular semula secara senyap di dalam komuniti jika semua pihak mula alpa.
Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Bioperubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin yang juga pakar dalam bidang penyakit berjangkit, Dr. Siti Junaidah Ahmad, Malaysia secara dasarnya berada dalam fasa eliminasi atau pembasmian bagi kes tempatan.
“Namun, bagi kes malaria jangkitan Plasmodium knowlesi (P. knowlesi), kita masih lagi di fasa kawalan. Bagi kes import seperti yang berlaku sekarang, KKM (Kementerian Kesihatan) juga berada di fasa kawalan,” katanya.
Dr. Siti Junaidah menjelaskan, kes malaria dikesan ketika ini berbeza dari segi spesies parasit, sekali gus memberikan kesan komplikasi berlainan kepada pesakit.
Bagi kes jenis malaria zoonotik (P.knowlesi), ia berlaku apabila parasit Plasmodium knowlesi menjangkiti monyet atau kera.

Kemudian, ditularkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles yang dijangkiti.
Parasit itu sangat agresif dengan kitaran hidup yang pantas iaitu setiap 24 jam.
Pesakit akan mengalami demam berselang-seli setiap hari dan boleh mengancam nyawa dalam masa singkat disebabkan komplikasi kerosakan organ dalaman seperti buah pinggang dan hati.
“Satu lagi jenis jangkitan malaria adalah Plasmodium vivax yang dibawa masuk menerusi kes import dari luar negara. Jenis ini mempunyai kitaran hidup selama 48 jam, di mana pola demam pesakit akan berulang setiap dua hari sekali.
“Jika tidak dirawat dari peringkat awal, jangkitan ini boleh mengakibatkan komplikasi anemia atau kekurangan sel darah merah yang teruk kepada mangsa,” jelasnya.
Sementara itu, masyarakat juga perlu tahu habitat nyamuk Anopheles (pembawa malaria) berbeza dengan nyamuk Aedes yang biasanya ditemui di kawasan bandar.
“Nyamuk Anopheles biasanya berada di kawasan pedalaman atau pinggir hutan. Nyamuk ini akan membiak di kawasan air bertakung yang mengalir seperti kawasan hutan, ladang dan pinggiran kampung.
“Ia berbeza dengan nyamuk Aedes yang biasa dijumpai di bandar,” ujar beliau.
Disebabkan penyakit ini sudah lama tidak menjadi bualan, masyarakat mula keliru untuk membezakan gejala antara demam denggi dan demam malaria.
Dari segi perbezaan, demam denggi mempunyai tempoh inkubasi yang cepat iaitu antara empat hingga tujuh hari selepas gigitan, manakala malaria mengambil masa lebih lama sekitar 10 hingga 15 hari.
Pola demam denggi dicirikan dengan suhu badan tinggi berpanjangan diiringi ruam kulit serta pendarahan gusi.
Bagi malaria pula, demamnya berulang mengikut kitaran sama ada 24 jam atau 48 jam sekali, selain menunjukkan tanda fizikal seperti anemia, jaundis (penyakit kuning) dan pembengkakan hati.
Bagaimanapun, Dr. Siti Junaidah memberikan jaminan bahawa rawatan perubatan sedia ada di hospital tempatan masih efektif untuk membendung jangkitan tersebut.
“Ubat yang sedia ada dan masih efektif adalah chloroquine dan artemisinin bagi jangkitan yang resistance (rentan) chloroquine,” katanya.
Meskipun ubat-ubatan itu sedia ada, namun masyarakat tidak boleh leka kerana penyakit ini masih tiada vaksin komersial di pasaran. Jadi, kesedaran mengenai penyakit berjangkit itu adalah penting bagi mengelak penularan dalam komuniti.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi individu yang gemar melakukan aktiviti luar seperti mendaki gunung, mereka dinasihatkan memakai pelindung serangga (insect repellent).














