KAJANG – Seramai 42 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan susulan tindakan penguatkuasaan Ops Kutip susulan penularan sebuah struktur bangunan flat yang didirikan secara haram di Kampung Kenangan, Sungai Makau, Hulu Langat, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesahkan video tular berdurasi 47 saat di media sosial hari ini yang memaparkan penempatan terbabit.
Menurutnya, tangkapan warga asing di lokasi tersebut telah dibuat pada 28 Februari tahun lalu hasil tindakan bersepadu Ops Kutip bersama Jabatan Imigresen Selangor.
“Seramai 42 warga asing diapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah melibatkan 35 lelaki, tiga wanita serta dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan. Kesemua tangkapan telah disiasat oleh Jabatan Imigresen di bawah Seksyen 51(3)(a) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta yang sama di Depot Imigresen,” katanya dalam kenyataan hari inix
Beliau berkata, satu borang Imigresen 29 (Saman Kepada Saksi) dan satu Borang Geledah Seksyen 51(1) Akta Imigresen 1959/63 turut dikeluarkan kepada seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai anak pemilik rumah di lokasi tersebut untuk membantu siasatan.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, masih terdapat penghuni di flat terbabit melibatkan dua keluarga iaitu pemilik dan penyewa warga tempatan.
Terdahulu, tular di media sosial video penyampai radio, Azad Jasmin menjumpai sebuah flat di Hulu Langat.
Video tersebut kemudian mendapat perhatian ramai susulan didakwa menempatkan puluhan warga asing yang menetap secara haram di lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














