BANDAR kita hari ini bergerak pantas, bagai nadi metropolis yang tidak pernah tidur. Pencakar langit menjulang megah, projek perumahan tumbuh bagai cendawan selepas hujan, sementara slogan ‘bandar pintar’ dilaungkan saban waktu.
Namun di sebalik kemajuan fizikal itu, muncul satu persoalan getir, adakah pembangunan ini benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat, atau sekadar kosmetik kepada tekanan urbanisasi yang kian menggila?
Hakikatnya, landskap bandar di Malaysia kini berdepan paradoks. Kemajuan dirayakan, tetapi keresahan tidak pernah benar-benar reda. Harga rumah terus menekan, kemudahan awam sering ketinggalan, manakala jurang antara dasar dan pelaksanaan semakin ketara.
Dalam ruang inilah peranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diuji, bukan semata-mata menggubal dasar, tetapi memastikan setiap polisi benar-benar hidup dalam realiti rakyat.
Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohammad Noorizuddin Nooh, komitmen kementerian tidak boleh dinafikan, namun cabaran hari ini menuntut pendekatan lebih tajam dan berpandangan jauh.
“Dasar dan inisiatif KPKT jelas memperlihatkan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek perumahan, pembangunan komuniti serta perkhidmatan kerajaan tempatan.
“Namun, dalam arus urbanisasi yang berkembang pesat, cabaran menjadi semakin kompleks dan memerlukan strategi lebih menyeluruh serta berasaskan masa depan,” katanya.
Isu perumahan mampu milik pula membuka satu lagi lapisan kritikal. Pembinaan ribuan unit kediaman sering dijadikan indikator kejayaan, namun realitinya jauh lebih rumit.
“Kejayaan dasar perumahan tidak seharusnya diukur melalui jumlah unit semata-mata, tetapi kadar pemilikan sebenar dalam kalangan rakyat.
“Dalam banyak keadaan, masalah utama bukan kekurangan rumah, tetapi ketidakpadanan antara harga dan kemampuan kewangan.
“Tanpa akses pembiayaan, kestabilan pendapatan serta kawalan kos sara hidup, pemilikan hanya menjadi mimpi di atas kertas,” jelasnya.
Model Projek Perumahan Rakyat (PPR) juga tidak terlepas daripada penelitian semula.
Katanya, PPR memainkan peranan besar menyediakan kediaman kepada golongan berpendapatan rendah.
“Namun, perubahan sosioekonomi menuntut penstrukturan semula dari sudut pemilikan, sewaan serta penyelenggaraan.
“Perumahan masa depan bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, tetapi membina komuniti mampan dan meningkatkan mobiliti sosial penghuni,” ungkapnya.
Dalam masa sama, keupayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi nadi kepada keberkesanan dasar di peringkat akar umbi namun persoalan autonomi sering menjadi kekangan tersembunyi.
Ironinya, KPKT berdiri di persimpangan penting antara visi dan realiti.
Dasar tidak boleh lagi sekadar responsif, sebaliknya mesti berani mendahului zaman. Dalam dunia yang semakin kompleks, rakyat tidak lagi menilai janji, tetapi hasil yang dirasai.
Jika pembangunan terus berlari tanpa menyantuni manusia, maka kota hanya akan menjadi indah di mata, tetapi rapuh di jiwa. -KOSMO! ONLINE














