PADA usia muda, ramai belia memilih untuk mengejar pengalaman hidup, kerjaya atau pengembaraan baharu.
Namun bagi seorang wanita muda berusia 20-an yang hanya memperkenalkan diri sebagai Sarah Sakinah, peluang menunaikan ibadah haji tahun lalu membuka ruang lebih besar buat dirinya untuk berkhidmat sebagai sukarelawan kepada tetamu-tetamu Allah di Tanah Suci.
Anak kelahiran Seri Kembangan, Selangor itu yang lebih dikenali sebagai Kina atau Kinana di media sosial berkata, pengalaman menjadi sukarelawan haji atau dikenali sebagai Sahabat Maktab merupakan antara pengalaman paling bermakna dalam hidupnya.
Membuka bicara bersama K-Remaja, Kina berkata, minat terhadap dunia kesukarelawanan sudah lama sebati dalam dirinya sejak usia remaja lagi apabila aktif menyertai pelbagai aktiviti kebajikan termasuk menjadi fasilitator dan membantu golongan gelandangan.
“Bila saya dapat panggilan haji tahun lalu, saya memang sudah berniat untuk bantu jemaah haji yang memerlukan.
“Saya tak mahu hanya menunaikan haji semata-mata tetapi mahu buat sesuatu yang bermanfaat supaya pengalaman haji itu jadi lebih bermakna,” katanya.
Keterujaannya untuk menyertai Sahabat Maktab membuatkan dia terus bertanyakan kepada petugas Tabung Haji mengenai cara pendaftaran sebaik tiba di bumi Mekah.
“Saya baru sampai hari pertama di Mekah waktu makan tengah hari, terus saya tanya petugas macam mana hendak daftar nama. Lepas itu saya terus ke pejabat Tabung Haji untuk beri nama sebagai sukarelawan,” ujarnya.
Selepas melalui sesi temu duga, Kina akhirnya terpilih menjadi sebahagian daripada Sahabat Maktab. Untuk makluman, Sahabat Maktab ialah pasukan sukarelawan yang dilantik dalam kalangan jemaah haji.
Mereka yang kebanyakannya anak muda membantu petugas rasmi menguruskan operasi, kebajikan dan kelancaran aktiviti jemaah lain di Tanah Suci.
Ujar Kina, keluarganya turut gembira dan bersyukur apabila mengetahui dia terpilih sertai pasukan sukarelawan itu.
“Ibu bapa saya memang galakkan saya jadi Sahabat Maktab sebab mereka sendiri pernah menunaikan haji pada tahun 2019. Mereka juga yang perkenalkan kepada saya tentang sukarelawan ini,” katanya.
Berkongsi mengenai rutin harian sepanjang bertugas, Kina memberitahu jadual sebagai Sahabat Maktab tidak terlalu padat dan masih memberi ruang kepada mereka untuk beribadah di Masjidil Haram.
Namun, cabaran sebenar bermula ketika fasa masyair melibatkan wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina.
“Waktu itu memang kami kena sentiasa dalam keadaan standby sebab ramai jemaah akan cari Sahabat Maktab untuk minta bantuan.
“Kami perlu sentiasa pantau keadaan jemaah supaya semuanya selamat dan sihat,” katanya.
Antara tugasan yang perlu dilakukan termasuk membantu jemaah yang sesat, membawa jemaah pengsan atau rebah ke pusat rawatan, membantu mengangkat barang serta menguruskan pelbagai keperluan jemaah lain.
Menurut Kina, walaupun penat, segala rasa lelah hilang apabila melihat senyuman dan kelegaan pada wajah jemaah yang dibantu.

“Bila jemaah ucap terima kasih dan nampak lega, terus hilang rasa penat.
“Waktu itu, saya dapat rasa nikmat sebenar menyantuni duyufurrahman,” katanya yang banyak berkongsi perjalanannya sepanjang menunaikan haji tahun lalu.
Sebelum tiba hari masyair, Sahabat Maktab turut menghadiri beberapa siri mesyuarat bersama petugas Tabung Haji bagi memastikan pergerakan jemaah berjalan lancar dan tersusun.
Selain diberikan penerangan terperinci mengenai urusan haji, mereka juga membantu menyusun serta mengagihkan pelekat, ubat-ubatan, batu melontar dan barangan keperluan lain.
Selepas selesai masyair pula, Kina diberi tanggungjawab membuat kiraan jumlah jemaah bagi memastikan tiada yang tertinggal.
Bercakap mengenai cabaran terbesar sebagai sukarelawan wanita, Kina mengakui aspek fizikal dan mental menjadi ujian paling mencabar terutama ketika suhu di Arafah mencecah sehingga 48 darjah Celsius.
“Waktu itu semua jemaah diminta kuarantin dari pukul 10 pagi hingga 4 petang sebab cuaca terlalu panas.
“Tapi kami tetap perlu bertugas di bawah terik matahari dan bantu jemaah yang memerlukan,” kongsinya lagi.
Kina menambah, keadaan badan yang penat, dehidrasi dan kurang rehat menuntut mereka sentiasa kuat serta peka dengan keadaan sekeliling.
Selain cabaran fizikal, dia juga perlu berdepan tekanan emosi apabila ada jemaah yang terlalu penat atau panik sehingga memarahi sukarelawan.
“Daripada situ saya belajar untuk kawal emosi, lebih bersabar dan cuba faham keadaan mereka supaya situasi tidak jadi lebih tegang,” katanya.
Tambahnya, menjadi Sahabat Maktab memerlukan seseorang sentiasa bersedia menghadapi situasi tidak dijangka.
“Ada jemaah yang tiba-tiba sesat, terlalu penat atau panik ketika kawasan sesak. Dalam keadaan macam itu saya tak boleh panik sekali. Saya kena cepat fikir cara untuk bantu dan tenangkan mereka,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Kina bersyukur kerana petugas Tabung Haji memberi ruang kepada sukarelawan untuk berehat sekiranya terlalu letih sebelum kembali bertugas.
Dalam pada itu, Kina berpendapat masih ramai anak muda tidak mengetahui kewujudan Sahabat Maktab kerana penyertaannya hanya dibuka kepada jemaah haji yang terpilih pada tahun tersebut.
Katanya, Sahabat Maktab berfungsi sebagai penghubung antara petugas Tabung Haji dan jemaah bagi memastikan urusan haji berjalan lancar.
“Sahabat Maktab datang daripada pelbagai latar belakang seperti doktor, jururawat, doktor pakar dan pengarah. Semua berganding bahu bantu jemaah,” katanya.
Jelasnya lanjut, antara tugas utama Sahabat Maktab ialah mengawal pergerakan jemaah, membantu jemaah yang memerlukan bantuan, menjadi penunjuk arah, membawa jemaah ke klinik serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Jelas Kina, tugas itu memerlukan kesabaran, disiplin, tenaga dan hati yang kuat kerana ia bukan sesuatu yang mudah.
Pengalaman tersebut turut mengajar dirinya tentang nilai kesabaran, keikhlasan dan kepentingan memudahkan urusan orang lain.
“Saya jadi lebih sabar, positif dan tidak cepat menghukum orang. Kadang-kadang benda kecil seperti bercakap dengan lembut atau bantu orang dengan ikhlas boleh beri kesan besar kepada mereka,” katanya.
Pengalaman menjadi Sahabat Maktab itu merupakan kenangan yang sukar dilupakan Kina kerana bukan sahaja dapat menunaikan ibadah haji, malah berpeluang berbakti kepada jemaah lain.
“Walaupun penat, pengalaman dan ukhuwah sesama Sahabat Maktab itu sangat mahal. Sampai sekarang hubungan kami masih baik dan kenangan itu sentiasa dirindui,” katanya.
Jika diberi peluang sekali lagi, Sarah berkata dia tidak akan pernah menolak untuk kembali menjadi sukarelawan haji.
“Hari terakhir di Mina pun saya dah rasa sedih sebab rasa masa berlalu terlalu cepat. Saya rasa macam apa yang saya buat untuk jemaah masih belum cukup.
“Penat itu memang ada, tetapi hati rasa tenang dan seronok bila dapat bantu tetamu Allah. Pengalaman itu terlalu berharga dan banyak mengubah diri saya,” katanya.















