KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kebimbangan aktiviti ketenteraan yang dilakukan di kawasan kepulauan di negeri ini akan menggugat ekosistem alam sekitar, flora dan fauna negeri Pahang.
Sehubungan itu baginda bertitah sebarang latihan dan eksesais ketenteraan yang dilakukan di kawasan kepulauan negeri ini perlu mendapat perkenan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memastikan ia dilaksanakan dalam keadaan terkawal dan tidak merosakkan ekosistem serta alam sekitar.
Menurut kenyataan Istana Abdulaziz, baginda mengambil berat akan aktiviti latihan ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia yang hendak dilaksanakan terutamanya di kawasan kepulauan di negeri Pahang.
“Baginda tidak menolak aktiviti ketenteraan bagi meningkatkan kemahiran dan pengalaman para pegawai dan anggota tentera, namun aktiviti ketenteraan tersebut mestilah dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal serta bertanggungjawab, selamat dan harmoni dengan alam sekitar dan semua pihak.
“Justeru baginda bertitah agar pihak Angkatan Tentera Malaysia dan semua jabatan atau agensi yang berkaitan menyembah maklum dan mendapatkan perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang latihan dan eksesais ketenteraan di negeri Pahang,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, baginda tidak akan teragak-agak meminta kerajaan negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran prosedur yang berlaku. – KOSMO! ONLINE














