BIOTEKNOLOGI reproduktif merupakan satu bidang sains yang semakin berkembang di Malaysia, merangkumi penggunaan teknologi moden seperti persenyawaan in vitro (IVF), saringan embrio dan analisis genetik.
Bidang ini memfokuskan untuk membantu pasangan yang berdepan masalah kesuburan serta meningkatkan kadar kejayaan kehamilan.
Seiring perkembangan di Malaysia, syarikat bioteknologi reproduktif, Yikon Genomics terus memperkukuh sokongannya kepada rakan klinik IVF di rantau Asia Pasifik menerusi makmal serantaunya yang berpangkalan di Malaysia.
Sejak mula beroperasi pada November 2025, ia berfungsi sebagai pusat rujukan dan demonstrasi bagi menyokong peningkatan standard makmal serta kecekapan operasi dalam kalangan rakan klinik dan makmal embriologi di Asia Tenggara.
Menurut Pengurus Makmal Yikon Genomics Malaysia, Dr. David Wong Chee Ern, penubuhan makmal ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap teknologi reproduktif canggih di rantau ini.
“Dengan adanya pangkalan serantau, Yikon Genomics mampu menawarkan masa pemprosesan yang lebih pantas, standard makmal yang lebih konsisten serta kerjasama teknikal yang lebih rapat dengan klinik IVF.
“Ini secara tidak langsung membantu meningkatkan keberkesanan rawatan serta keyakinan dalam kalangan pengamal perubatan reproduktif,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.
Tambahnya, makmal di Malaysia ini juga memainkan peranan penting sebagai platform untuk pengesahan aliran kerja, demonstrasi secara langsung, penanda aras kualiti serta latihan praktikal.
Melalui pendekatan ini, rakan klinik berpeluang memperkukuh konsistensi operasi mereka di samping meningkatkan kecekapan teknikal.

Kata Chee Ern lagi, pemilihan Malaysia sebagai hab serantau bukanlah suatu kebetulan. Negara ini menawarkan persekitaran logistik sampel klinikal yang stabil, disokong oleh rangka kerja peraturan yang mantap serta sistem permit import yang teratur.
“Faktor-faktor ini memudahkan pengendalian sampel rentas sempadan dengan pematuhan ketat terhadap piawaian keselamatan dan kawalan suhu.
“Selain itu, kedudukan geografi Malaysia turut memudahkan akses kepada rakan klinik di seluruh Asia Tenggara, sekali gus mempercepatkan proses latihan, pertukaran teknikal dan penyelesaian masalah,” ujarnya.
Kongsinya lagi, makmal ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan cara sokongan diberikan kepada rakan IVF di rantau ini.
Beliau menekankan bahawa kehadiran kemudahan serantau membolehkan kerjasama lebih rapat dengan klinik serta meningkatkan standard kualiti dan kecekapan operasi secara keseluruhan.
Dengan permintaan terhadap saringan embrio yang lebih maju dan penyeragaman makmal yang semakin meningkat, kewujudan hab ini menjadi semakin relevan.
Dalam masa yang sama, Yikon Genomics turut bersedia untuk memperkenalkan ESSENCE™/EMT™ pada suku kedua 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Yikon Genomics, Dr. Sijia Lu berkata, penyelesaian komprehensif ini direka untuk membantu pakar klinikal menilai penerimaan endometrium serta komposisi mikrobiom secara lebih menyeluruh.
“Gabungan data ini membolehkan penilaian yang lebih tepat sama ada persekitaran endometrium bersedia untuk menyokong implantasi embrio, sekali gus meningkatkan peluang kejayaan rawatan IVF.
“Pelaksanaan ESSENCE™/EMT™ akan dilakukan secara berperingkat melalui kerjasama perintis, program pengesahan teknikal serta latihan berstruktur kepada pakar klinikal dan pasukan makmal,” kongsinya.
Selain itu, Yikon Genomics akan mengetengahkan strategi serantaunya di PGDIS 2026 yang bakal berlangsung di Shanghai.
Melalui bengkel Yikonnect bertajuk Multi-Omics Insight in Embryo Screening and Endometrium Assessment, syarikat ini akan menghimpunkan pakar klinikal, embriologis dan profesional makmal untuk meneroka potensi pendekatan multi-omics dalam meningkatkan ketepatan saringan embrio dan penilaian endometrium.
Sijia turut menegaskan bahawa fokus syarikat adalah untuk membantu rakan klinik memperkukuh keupayaan makmal dan keyakinan klinikal melalui sistem kualiti yang kukuh, latihan berterusan serta kerjasama saintifik.
Menurut beliau, makmal di Malaysia merupakan komponen penting dalam komitmen jangka panjang tersebut terutamanya ketika teknologi reproduktif terus berkembang pesat di peringkat global.














