PETALING JAYA – Pelakon Nabila Huda mendedahkan pernah dipandang sinis oleh staf sebuah restoran mewah disebabkan penampilannya tidak bergaya.
Nabila, 41, atau Abil berkata, perkara tersebut berlaku pada hari dia memakai pakaian ringkas yang tidak selari dengan konsep restoran dikunjunginya.
“Kenapa kadang-kadang bila pakai comot nak masuk restoran ‘fancy’ akan dipandang macam kena ‘judge’ (dinilai)?
“Contoh adakalanya saya keluar pakai baju-T dan selipar sebab malas nak bersiap, cuma pakai gincu.
“Faham kan pandangan macam ‘eh biar betul dia ini nak makan di sini’. Situasi itu buat saya tak selesa padahal nak makan saja dan ada juga pelanggan beri pandangan macam saya gelandangan,” katanya dalam Threads.
Tambah Abil, bukan saja kakitangan, pelanggan yang ada di dalam restoran tersebut juga memberi pandangan sama terhadapnya.
Namun, dia menegaskan perkongsian tersebut bukan untuk menagih layan istimewa sebaliknya berkongsi rasa terkilan terhadap ketidakadilan layanan hanya disebabkan penampilan tidak bergaya mewah.
“Saya bukan perasan orang kena kenal dan patut dapat layanan istimewa malah tidak kisah langsung mengenainya.
“Apa yang saya kisah ialah cuma nak makan. Dalam malaysia bukan hanya pekerja Melayu saja, ada pelbagai bangsa tetapi kenapa bila comot kena ada tanggapan pertama begitu ya?” ujarnya.
Ujarnya, layanan sepatutnya diberikan secara adil kepada semua pelanggan yang hadir.
“Tidak boleh ke kita dilayan sama adil, beri senyuman semanis buah nanas walaupun pakaian tak setaraf dengan yang selalu masuk ke tempat itu, ini hanya kerisauan saya saja sebenarnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














