fbpx
Gambar (kiri) yang dikongsi oleh Muhammad Fazrey memaparkan kejadian isterinya, Natasha Adilla melahirkan anak kedua di dalam kereta.

Jalan sesak, wanita bersalin dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Dalam 20 minit perjalanan, baru sahaja dia hendak makan, tiba-tiba kontraksi dan sakit datang mengejut. Dia memang sudah tidak tahan sangat.”

Demikian kata Muhammad Fazrey Sani, 32, saat berkongsi detik mencemaskan apabila isterinya, Natasha Adilla Hafidzin, 30, terpaksa bersalin di dalam kereta selepas tidak sempat ke hospital dalam kejadian pada Selasa lalu.

Menurut Muhammad Fazrey yang juga seorang anggota tentera, isterinya mengadu terdapat tanda-tanda pendarahan selepas dia pulang dari menunaikan solat Subuh di surau kira-kira pukul 6.30 pagi.

“Saya baru balik dari surau solat subuh isteri beritahu ada darah mengalir tapi tiada kontraksi atau sakit nak bersalin pun,” katanya.

Bimbang dengan situasi itu, dia mengambil keputusan membawa isterinya ke Hospital Pulau Pinang dari Kem Sungai Ara selepas menghantar anak sulung mereka ke rumah pengasuh kira-kira pukul 7.10 pagi.

Katanya, dia sempat membungkus makanan buat isterinya untuk mengalas perut namun segalanya berubah dalam sekelip mata.

“Dalam 20 minit perjalanan, baru sahaja dia hendak makan, tiba-tiba kontraksi dan sakit datang mengejut. Dia memang sudah tidak tahan sangat. Jalan raya pula sangat sesak memandangkan waktu kemuncak orang keluar bekerja,” jelasnya.

Menyedari keadaan semakin mendesak dan isterinya sudah mengerang kesakitan, Fazrey menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan segera dan memberhentikan kenderaan bagi memudahkan pasukan penyelamat mengesan lokasi mereka.

“Saya cuba minta laluan dengan kereta lain dan terus berhenti tepi jalan sebab nak bagi ambulans nampak kami,” ujarnya.

Sejurus ambulans tiba, isterinya sudah tidak berdaya untuk dialihkan ke dalam ambulans kerana kepala bayi sudah pun mula kelihatan.

“Dalam 10 minit kemudian, dengan bantuan jururawat ambulans yang datang tadi, isteri saya selamat melahirkan bayi kami di dalam kereta.

“Selepas keadaan stabil, barulah saya angkat isteri masuk ke dalam ambulans untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP),” jelasnya.

Katanya, bayi tersebut diberi nama Muhammad Luth Faeeq, dan menyifatkan kehadiran cahaya mata baharu ini adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN