PAGI 22 November tahun lalu, suasana pagi di sungai itu berada dalam balutan kabus nipis dengan permukaan air berwarna teh pekat.
Sungai Bernam pada pukul 8 pagi bukanlah tempat yang mesra bagi mereka yang mencari keriuhan.
Sebaik enjin bot dimatikan, suasana segera diambil alih oleh simfoni alam yang jujur, desiran angin pagi pada pelepah rumbia, siulan burung tempua bersarang rendah dan bunyi kocakan air oleh ikan-ikan kecil di celah-celah akar kayu.
Udara di sini berat dengan bau tanah basah dan pokok reput tumbang, satu aroma tipikal sungai tua yang menjanjikan kehadiran spesies ikan terbesar negara.
Di kiri dan kanan tebing sungai dihiasi hamparan rumput berjuntai mencecah air, tempat persembunyian sempurna bagi ‘Sang Ketua Sungai’ untuk menunggu mangsanya dengan sabar.
Dalam keheningan yang hampir mistik ini, setiap lontaran gewang ke arah tebing sungai terasa seperti satu gangguan kepada ketenangan yang berdaulat.
Tiada cerita tentang rekod, tiada tekanan untuk angka, hanya satu misi pancingan santai sahaja di sini.
Bot berhanyut perlahan ke hilir, saya melontar gewang ke tebing berumput tebal dan struktur berpotensi, di hari yang rentak lebih penting daripada hasil.
Di tangan saya, sebatang joran yang masih dalam fasa akhir pembentukan identiti, Rentaka MOVE direka ringan, responsif dan mesra pengembaraan.
Joran dibawa pada hari itu adalah model berkekuatan sederhana ringan yang semestinya bukan dibikin untuk menundukkan sang gergasi.
Ia dibuat dengan sepenuh jiwa untuk keseronokan dan supaya dapat ‘bersatu’ dengan tangan yang menghayun gewang.

Kadangkala, kita merendahkan jangkaan agar kekecewaan tidak memedihkan.
Namun, Sungai Bernam mempunyai skripnya yang tersendiri pada pagi itu.
Sambaran
Baru setengah jam bot berhanyut bersama Eppy dan tekong Chaher, suasana tenang meledak sekelip mata.
Gewang Senses Kaido Shad 88 baru sahaja ‘menari’ di celah-celah kawasan berumput, tiba-tiba permukaan air ‘meletup’.
Tiada amaran dengan ‘ketukan’ lembut, tiada teragak-agak, yang ada hanyalah satu sambaran bersifat ‘jahat’, tepat, padu dan penuh niat untuk memusnahkan.
Itu bukan sekadar satu sambaran. Ia adalah satu pengisytiharan perang.
Tiba-tiba, joran menunduk, cangkukkan mata tiga gewang seolah-olah melekat pada sesuatu yang terasa seperti sauh hidup enggan berganjak.
Ikan tapah tidak berlawan dengan kelajuan seperti toman atau badong, ia bertarung dengan autoriti.
Ia mendap ke dasar, menggunakan berat tubuhnya yang lebar dan besar untuk menekan setiap inci karbon terkandung dalam joran. Jelas, ikan ini bukan saiz biasa.
Tujuh minit
Dalam setiap pertarungan, ada satu detik apabila ‘teknik’ bertukar menjadi ‘naluri’. Di sinilah, ia berlaku.
Bot mula bergerak, kemudian melilau, mengikut arah ikan membenam. Sungai Bernam bertukar menjadi gelanggang bergerak. Setiap sudut ada tekanan, setiap perubahan arah bot memainkan peranan.
Joran melentur hampir ke had maksimum. Batang joran membentuk lengkungan ekstrem, cukup untuk membuat sesiapa yang melihat berdebar. Namun tulang belakangnya kukuh bertahan.
Sistem drag kekili bekerja tanpa kompromi. Tali utama Rentaka Tempur 30lb menghantar setiap denyutan nadi ikan terus ke telapak tangan.
Perambut berkekuatan 50lb pula menyerap benaman ikan dengan tenang.

Di hujung sistem, mata tiga Rentaka Duri berkekuatan 5X mencengkam rahang sang gergasi tanpa sedikit pun menunjukkan tanda akan menjadi lurus.
Ada satu momen apabila tali bergeser dengan batang joran ketika tekanan maksimum diberikan ikan, sementara saya mengepam sepenuh hati untuk memaksa kepala ikan berpaling ke arah lebih selamat.
Situasi yang biasanya dielakkan, tetapi dalam keadaan kecemasan, ia adalah keputusan terpaksa.
Ini bukan lagi tentang teknik sempurna, ini mengenai adaptasi, tentang meredakan apa yang masih boleh dikawal.
Tujuh minit detik-detik cemas. Singkat pada masa, tetapi terasa amat panjang dalam rasa.
Nilai sebuah keputusan
Akhirnya, ‘Sang Ketua Sungai’ timbul di permukaan air, semua menjadi jelas. Seekor tapah bersaiz kasar, besar, padat dan penuh karakter.
Ikan didaratkan ke tebing, ia ditimbang dan diukur menggunakan alat dan prosedur wajib yang ditetapkan pihak International Game Fish Association (IGFA).
Beratnya 19.13 kilogram (42lb 3oz) dengan panjang keseluruhan badan 131 sentimeter.
Keputusan dibuat tanpa ragu-ragu, kami melepaskan ia semula. Bukan kerana terpaksa tetapi pilihan.
Ikan ini bernilai sekitar RM950 di pasaran. Namun apabila saya menatap matanya, nilai itu menjadi debu. Ada sesuatu yang lebih besar daripada wang ringgit di sini iaitu ‘penghormatan’.
‘Sang Ketua Sungai’ ini seharusnya terus memerintah Sungai Bernam.
Saya mahu ia terus menjadi legenda yang bakal menguji pemancing lain di masa hadapan, memberikan mereka debaran jantung sama seperti apa saya rasai.
Pada bulan lalu, rekod ini disahkan oleh IGFA sebagai All-Tackle World Record untuk ikan tapah (Wallago leerii).
Daripada trip santai, ia terus menjadi sejarah dalam arena pemancingan saya.
Trip seperti ini sentiasa datang dengan pengajaran. Kita turun santai dengan set-up ringan untuk keseronokan, namun kita tidak akan tahu apa yang bakal menyambar gewang atau umpan.
Kadangkala, kita bersedia untuk yang besar, namun yang datang hanya bersaiz kecil.
Kadangkala, kita turun santai, tetapi yang muncul ketuanya.
Saat ikan tapah itu hilang ke dalam arus Sungai Bernam, ia meninggalkan lebih daripada sekadar riak air.
Ia membawa bersama satu rasa yang sukar diterjemahkan.
Bukan sekadar kepuasan, tetapi penghormatan kepada sungai, ikan dan saat serta ketika yang tidak boleh diulang lagi.














