KUALA LUMPUR – Seramai 191 individu dicekup dalam 231 serbuan menerusi Op Langka yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia di Kedah dan Perlis, antara 9 hingga 12 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi khas itu digerakkan susulan peningkatan kes penyalahgunaan dadah di dua negeri berkenaan.
“Op Langka memfokuskan kawasan panas seperti Langkawi, Kuala Kedah dan Perlis bagi melumpuhkan rantaian bekalan dadah hingga ke akar umbi.
“Hasil gerak gempur dijalankan, 231 serbuan dilakukan dengan 191 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah, selain pelbagai jenis dadah turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. – KOSMO! ONLINE






