PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang mencuri beberapa helai telekung di sebuah butik di pusat membeli belah semalam mencetuskan kemarahan oleh orang ramai.
Menerusi satu perkongsian video televisyen litar tertutup (CCTV) oleh @areejtorla, dia mendakwa lelaki tersebut memasukkan beberapa helai telekung ke dalam beg galasnya sebelum berlalu pergi.
“Nak bagi hadiah boleh tapi jangan curi. Kalau berkenan, beli jangan ambil yang bukan hak kita,” katanya.
Kejadian itu berlaku apabila seorang kakitangan sedang berehat manakala seorang lagi sedang sibuk melayan pelanggan lain sehingga tidak menyedari tindakan lelaki tersebut.
Rata-rata pengguna meluahkan rasa kecewa dan hairan dengan tindakan individu tersebut yang sanggup mencuri barangan yang digunakan untuk tujuan beribadat.
“Pening fikir, curi telekung yang akan digunakan untuk beribadat. Bukan satu helai dia curi pula itu,” kata pengguna Eriiiiin.z.
“Taktik pencuri selalu yang kita kena awasi dimana mereka selalunya akan ada peneman antara dua orang atau tiga orang. Dia buat kerja selebihnya buat-buat tanya pekerja dekat situ,” kata pula pengguna Mohshafuan90.
“Mungkin nak bagi sebagai hadiah raya dekat keluarga, tapi niat tidak menghalalkan cara,” ujar pengguna Irismusfirah.
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap keselamatan premis masing-masing bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang. — KOSMO! ONLINE














