JOHOR BAHRU – Tular satu rakaman video memaparkan seorang pemandu bas ekspres didakwa memandu dalam keadaan berbahaya apabila meriba seorang wanita ketika kenderaan itu sedang bergerak dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur (TBS) menuju ke Larkin Sentral, di sini.
Rakaman video berdurasi sembilan saat itu mencetuskan kemarahan orang ramai apabila tindakan pemandu berkenaan dilihat bukan sahaja tidak profesional, malah berisiko tinggi terhadap keselamatan penumpang.
Menurut maklumat yang dikongsikan di media sosial, kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika bas berada di lebuh raya antara kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban sehingga ke R&R Kulai.
Difahamkan, insiden berkenaan berlaku pada pukul 2 petang, semalam iaitu waktu perjalanan yang lazimnya melibatkan jumlah penumpang yang ramai.
Dalam video tersebut, kelihatan seorang wanita duduk di atas riba pemandu ketika bas sedang bergerak laju, sekali gus menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan serta disiplin pemandu terbabit.
Rata-rata netizen meluahkan rasa bimbang dan tidak puas hati, malah ada yang menyifatkan tindakan itu sebagai ‘tidak masuk akal’ dan boleh mengundang tragedi sekiranya berlaku kecemasan.
Selain itu, pengguna media sosial turut mendesak agar pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) segera menjalankan siasatan terperinci.
Ada juga yang meminta syarikat bas terlibat tampil memberikan penjelasan serta mengambil tindakan tegas terhadap pemandu berkenaan jika dakwaan itu terbukti benar.
Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa mahupun syarikat bas berhubung insiden tular tersebut.-KOSMO! ONLINE














