PETALING JAYA – Seorang murid lelaki menyarungkan ‘cincin’ pada jari guru lelakinya sebagai tanda penghargaan sebelum mereka berpisah selepas guru berkenaan akan berpindah ke sekolah baharu.
Menerusi video berdurasi 50 saat yang dimuat naik seorang pendidik @norainimahmood916 di TikTok semalam, suasana menjadi sebak apabila murid tersebut dilihat menangis teresak-esak ketika menyampaikan ‘hadiah’ simbolik itu kepada gurunya.
Lebih menyentuh perasaan, guru berkenaan turut tidak dapat menahan sebak apabila memeluk dan mendukung murid tersebut dalam keadaan kedua-duanya sama-sama menitiskan air mata.
Sementara itu, semakan Kosmo! pada TikTok guru terbabit @abe_pa16, beliau akan berpindah ke sebuah sekolah di Kota Bharu, Kelantan selepa bertahun-tahun menabur bakti di sekolah pertamanya, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mahligai, Kuala Krai.
“Selamat tinggal anak-anak SK Seri Mahligai yang dikasihi sekalian. Semoga kalian berjaya dalam setiap sesuatu yang kalian usahakan.
“Kalianlah kebanggaan cikgu. Semoga pertalian ini kekal akhir hayat. Tempat jauh lagika. dikenang, inikan pula sekolah pertama,” katanya dalam satu hantaran.
Perkongsian video itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang rata-ratanya tersentuh melihat keakraban antara guru dan murid tersebut, selain memuji dedikasi guru berkenaan yang disifatkan berjaya meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan pelajarnya.
“Sedih tengok hubungan macam ni, cikgu yang baik memang akan sentiasa diingati,” komen Norlaili.
“Adik tu sarungkan cincin untuk kenangan buat cikgu kesayangan dia. Menangis saya, semoga adik ini jadi insan berjaya dunia akhirat. Doakan cikgu awak dimurahkan rezeki selalu ya dik,” kata @KakTaa.
“Cikgu yang baik anak-anak murid akan hormat dan sayang mcm ibu bapa mereka sendiri. Anak-anak murid akan sentiasa mengingati kebaikan seorang guru yang telah memberi impak dan kesan di hati anak-anak murid. Guru baik mcm ini, anak-anak yang yg baik atas didikan cikgu Akan sentiasa berjaya,” kata @As_. – KOSMO! ONLINE
@norainimahmood916 Terima kasih cikgu faiz @abe_pa16 ♬ bunyi asal – takdir & waktu














