SHAH ALAM – Percubaan pertama empat individu termasuk seorang wanita untuk menjadi keldai dadah dengan upah RM5,000 akhirnya memakan diri apabila mereka ditahan pihak berkuasa di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal bulan ini.
Kesemua suspek tempatan berusia 19 hingga 37 tahun itu, yang masing-masing bekerja sebagai jurujual, juruteknik dan pengawal keselamatan, diberkas pada 5 dan 8 April lalu.
Turut dirampas adalah dadah jenis syabu dan bunga ganja dengan berat keseluruhan 57.5 kilogram (kg) bernilai RM3.6 juta selain menyita 190 UK Pound Sterling (RM1,000).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kesemua suspek telah direkrut sindiket pengedaran dadah bagi penghantaran dadah untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Katanya, mereka mendapat dibayar pada kadar minimum RM5,000 dengan ditaja tiket penerbangan dan penginapan sindiket.
“Kita percaya mereka ini adalah keldai dadah daripada sindiket berlainan dan merupakan penghantaran pertama mereka.
“Suspek wanita yang bekerja sebagai jurujual di kawasan parkir pusat beli belah sekitar parkir kenderaan pusat beli belah KLIA. Manakala tiga lagi suspek berjaya ditahan terminal 1 lapangan terbang itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, tiga suspek terbabit sebelum ini ditahan di sebuah lapangan terbang di salah sebuah negara Eropah hasil kerjasama dengan pihak polis negara berkenaan.
Beliau menjelaskan, berdasarkan pecahan kes, suspek wanita ditahan ketika membawa 12 bungkusan plastik berisi syabu seberat 12.5 kg bernilai RM625,000 dalam satu bagasi dengan dadah itu dipercayai untuk edaran pasaran tempatan.
“Manakala tiga suspek dilakukan susulan rampasan tiga bagasi berisi 90 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 45 kg bagi penerbangan di luar negara oleh polis bantuan Airport Berhad KLIA.
“Semakan mendapati dua daripada empat suspek tersebut mempunyai antara empat dan enam rekod lampau selain positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” jelasnya.
Kesemua mereka kini direman tujuh hari dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Shazeli berkata, pihaknya kini mengesan seorang wanita dikenali Syazwani Farhana Dron berusia 33 tahun dengan alamat dari Kampung Tudan Lutong Miri Sarawak susulan penemuan bagasi mengandungi 23 bungkusan syabu seberat 24.5 kg bernilai RM1.225 juta semasa proses imbasan bagasi.
“Suspek telah melarikan diri daripada Terminal KLIA dan tidak menaiki penerbangan ke Sabah setelah dipanggil untuk tujuan pemadanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














