JAKARTA – Helah seorang wanita di Sinjai, wilayah Sulawesi Selatan yang menyamar sebagai lelaki akhirnya terbongkar apabila dia tidak sanggup menyediakan wang mas kahwin untuk ‘bernikah’ dengan teman wanitanya, lapor laman berita Asatu News.
Wanita dikenali sebagai Santi, 19, itu mula berkenalan dengan Alda menerusi aplikasi temu janji pada Mac lepas dengan memperkenalkan dirinya sebagai seorang lelaki bernama Mulang.
Hubungan mereka mula menjadi serius sebelum Santi meluahkan hasratnya untuk mengahwini Alda.
Ketua Kampung Biji Nangka, Abdul Rauf berkata, pada 8 April lalu, Santi pergi ke rumah Alda untuk melamar wanita tersebut sambil ditemani rakannya.
Ketika melamar, nenek Alda meminta mas kahwin sebanyak 250 juta rupiah (RM58,000) daripada Santi, membuatkan dia membatalkan hasratnya.
“Apabila mereka tiba, nenek Alda meminta mas kahwin sebanyak 250 juta rupiah, tetapi Santi tidak mampu, jadi perkahwinan itu dibatalkan,” kata Abdul Rauf.
Nenek Alda kemudian melaporkan lawatan Santi kepada ketua masyarakat setempat pada 10 April lalu, sebelum dia mengaku mengenai kisah penyamarannya.
Tidak dinyatakan sama ada Santi dikenakan sebarang hukuman berhubung tindakannya itu. – AGENSI














