fbpx
Amelina menitiskan air mata terkenangkan tanggapan serong sebilangan pihak yang sewenang-wenangnya mengatakan industri hiburan adalah haram dikerjakan sebagaimana didakwa seorang pempengaruh sensasi dikenali sebagai Tareq Fit.

Tahu aurat tapi tiada pula pergi kerja sampai berbikini – Amelina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penyanyi dangdut Amelina menitiskan air mata gara-gara memikirkan tanggapan serong sebilangan pihak yang sewenang-wenangnya mengatakan industri hiburan adalah haram dikerjakan sebagaimana didakwa seorang pempengaruh sensasi dikenali sebagai Tareq Fit.

Amelina atau nama sebenarnya, 52, berkata, walaupun ada benarnya pendapat dilontarkan, tujuannya bekerja dalam industri seni hanya satu iaitu untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup. 

“Bukan kita nak betulkan benda yang salah. Fasal aurat semua itu, memang kita tahu. 

“Yang penting niat atau nawaitu kita. Contohnya, kalau dapat rezeki ini, kita nak buat untuk apa. Saya secara peribadi, tiadalah sampai terkeluar landasan niat saya. 

“Orang pergi pejabat, mereka pakai baju yang sesuai. Untuk saya sebagai penyanyi, kenalah pakai baju yang sesuai untuk menyanyi. Tiada pula sampai pergi kerja berbikini atau berkemban,” katanya kepada Kosmo! Online pada acara Seloka Lebaran anjuran Rusa Music di sini hari ini. 

Pelantun lagu Asyik itu percaya, bakat adalah kurniaan Tuhan dan bukan menjadi tugas manusia untuk mencaci atau atau merendahkan punca rezeki seseorang sesuka hati. 

“Bila kita mempertikaikan bakat atau rezeki orang, maknanya engkau mempertikaikan kelebihan Allah SWT — semua yang datang daripada Dia (Allah). 

“Macam saya, 15 tahun menghilang kemudian dilorongkan semula dalam industri—menyanyi lagu-lagu lama yang popular. Rezeki ini yang membolehkan saya membesarkan anak-anak dan bekerja demi mereka. 

“Individu terbabit boleh menilai, tak salah tapi rezeki ini datang daripada Allah. Kalau kau pertikai, maknanya kau persoal kerja Tuhan,” katanya penuh sebak. 

Mengakui menghormati Tareq sebagai jurulatih kecergasan yang banyak memberi input tentang diet, Amelina bagaimanapun terasa apabila bidang kerjanya diperlekeh individu terbabit. 

“Tareq ini saya suka tengok dia sebagai bagi tip tentang diet tapi lama-kelamaan makin melebih-lebih. 

“Bukan Tareq seorang yang pandang seorang tentang kerja anak seni, ramai lagi sebenarnya. Kita golongan artis macam satu ‘kampung’ walau dia tak tuju pada saya. 

“Halal haram apa semua, memang dari luaran tapi kita tak tahu (dalaman) seseorang,” luahnya lagi. 

Terdahulu, kesan kelancangan mulut Tareq memasuki episod baharu apabila melahirkan rasa kecewa selepas  penyampai radio Era, Azad Jasmin menggelar ibunya sebagai pelayan pusat hiburan atau GRO. 

Tareq berkata, perkara tersebut mula tercetus selepas dia memberi nasihat kepada Azad mengenai dunia hiburan boleh merosakkan akhlak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN