SHAH ALAM – Suspek tahanan lelaki warga Pakistan yang meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh sejak Khamis lalu dipercayai masih berseorangan dan belum berhubung dengan mana-mana pihak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya percaya suspek masih belum melakukan sebarang komunikasi termasuk dengan rakan-rakannya susulan langkah diambil polis bagi mengekang perkara tersebut.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh setakat ini, suspek juga dipercayai masih berada di sekitar kawasan Sungai Buloh.
“Pada waktu ini, kita percayai tahanan tersebut masih lagi belum berkomunikasi dengan rakan-rakan yang lain susulan tindakan kita dalam menghalang proses tersebut. Kita percaya dia masih berseorangan.
“Usaha pengesanan masih diteruskan dan kita percaya pesalah tersebut masih berada di sekitar kawasan Sungai Buloh.
“Operasi mencari turut diperkukuh dengan penambahan anggota melibatkan beberapa agensi termasuk Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara serta unit-unit teknikal lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah anggota terlibat dalam operasi berkenaan.
“Kita yakin ada perkembangan positif akan diperoleh dalam tempoh terdekat hasil operasi bersepadu yang sedang digiatkan,” katanya.
Dalam pada itu, Shazeli berkata, Polis Selangor turut membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti sekiranya berlaku sebarang kelemahan atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan dan kita akan meneliti sebarang kecuaian atau kelemahan. Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat keterangan mencukupi,” ujarnya.
Tambah beliau, keterangan telah dirakam daripada pelbagai pihak termasuk anggota polis, pegawai Jabatan Penjara serta beberapa tahanan yang menjadi saksi kejadian.
“Tiada tangkapan dibuat setakat ini, namun mereka (anggota polis terlibat dalam kes itu) telah dihadkan kepada tugasan tidak aktif sementara siasatan dijalankan,” tegasnya.
Terdahulu, lelaki tersebut, Muhammad Hassan, 24, kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren dan berseluar panjang hitam.
Warga asing itu menghadapi beberapa pertuduhan termasuk di bawah Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan selain kesalahan imigresen. – KOSMO! ONLINE














