ARAU – Perayaan Songkran diangkat sebagai simbol perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini sekali gus mencerminkan keharmonian dalam kepelbagaian budaya.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyifatkan sambutan tersebut sebagai manifestasi identiti nasional yang inklusif.
“Perayaan Songkran bukan sekadar sambutan tahun baharu masyarakat Siam tetapi juga mencerminkan keharmonian dan kekuatan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian
“Dalam konteks Malaysia, Songkran menjadi simbol identiti bersama yang memperlihatkan bagaimana pelbagai budaya dapat hidup subur dalam suasana harmoni,” katanya ketika merasmikan Perayaan Etnik Siam Malaysia Songkran Peringkat Kebangsaan 2026 di Wat Macchimaprasit di Jejawi, di sini hari ini.
Menurut beliau, komuniti Siam di Malaysia dianggarkan sekitar 70,000 orang dengan sebahagian besar tertumpu di negeri utara Semenanjung.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan Madani menyalurkan peruntukan khas kepada komuniti Siam bernilai lebih RM2 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025 melibatkan program pendidikan bahasa ibunda, pemeliharaan kebudayaan dan pengukuhan adat resam. – KOSMO! ONLINE














