fbpx
MOHD. Najib (tiga dari kiri) ketika mengadakan sidang media rampasan dadah di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini. Foto MASTURAH SURADI/KOSMO!

Ahli sindiket terjun laut tinggal bot, syabu RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Cubaan dua suspek untuk menyeludup keluar dadah jenis syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran gagal apabila pergerakan mereka dikesan Maritim Malaysia (APMM) di Batu Layar di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, bot ronda APMM Zon Maritim Tanjung Sedili mengesan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika barat Batu Layar.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot tersebut berpatah balik sebelum memecut untuk meloloskan diri.

“Aksi mengejar bot suspek berlaku kira-kira 10 minit sebelum menuju ke pantai bagi mengelak ditahan. Dua individu dipercayai kru bot nekad terjun ke laut kira-kira 700 meter dari pantai Batu Layar sebelum lari ke daratan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili, di sini hari ini.

Jelasnya, tindakan pantas APMM membawa kepada penemuan beg di dalam bot yang mengandungi 20 bungkusan plastik kuning berisi bahan disyaki syabu seberat 20 kilogram.

Siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai cuba dibawa ke negara jiran melalui laluan laut, dengan kemungkinan terdapat bot lain menunggu di lokasi pertukaran kira-kira 30 hingga 40 batu nautika dari pesisir.

“Enjin bot hanya 85 kuasa kuda tidak mampu merentas jarak jauh. Ini mungkin modus operandi sindiket yang menggunakan kaedah pertukaran di laut,” jelasnya.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1 juta menjadikannya antara kejayaan terbesar Zon Maritim Tanjung Sedili tahun ini, manakala bot dan enjin bernilai RM40,000.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN