fbpx
Aswadi (kanan) menunjukkan sebahagian diesel yang dirampas selepas menahan empat buah bot di jeti nelayan Kampung Geting, Tumpat hari ini.

Stor rahsia seludup diesel ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Taktik licik sindiket yang menjadikan tangki dan ruang simpanan ikan sebagai stor rahsia untuk menyeludup diesel ke negara jiran menggunakan laluan laut terbongkar selepas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu jeti nelayan Kampung Geting di sini semalam.

Serbuan kira-kira pukul 4.53 petang itu dijalankan menerusi Op Tiris 4.0 itu membawa kepada penangkapan empat lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, semua suspek dicekup semasa sedang leka memindahkan diesel menggunakan pam dan hos ke dalam tangki tambahan yang diubah suai termasuk ruang simpanan ikan dari bot Kelas A ke Kelas C.

Katanya, tindakan itu bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa sekali gus mengelakkan mereka daripada dicekup.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas bot tersebut menjumpai 3,300 liter diesel yang disembunyikan dalam ruang simpanan ikan dan tangki tambahan di dalam empat buah bot Kelas A dan C.

“Siasatan awal mendapati, sindiket terbabit telah memanipulasi bekalan diesel bersubsidi yang disyaki diperuntukkan kepada nelayan dengan mengumpulnya daripada bot sebelum dipindahkan ke bot bersaiz lebih besar,” katanya pada sidang media di Kampung Geting di sini hari ini.

Aswadi memberitahu, diesel itu kemudian akan diseludup ke negara jiran melalui laluan laut dan sebahagiannya disyaki dijual kepada pengusaha kapal besar.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan bot termasuk diesel bersubsidi bernilai RM722,176 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1962 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN