PETALING JAYA – Cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pandan mengundang kritikan apabila disifatkan sebagai tidak perlu dan hanya membebankan rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Puad Zarkashi mendakwa, kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung perkara itu merupakan satu provokasi politik.
Menurut beliau, andaian bahawa PKR sedang mengatur PRK di Pandan termasuk spekulasi Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai calon, tidak wajar dilayan.
“Kalau PRK Pandan diadakan, ia hanya menunjukkan PKR paling banyak menyebabkan pilihan raya kecil dibuat semata-mata untuk menyelesaikan masalah dalaman parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Puad turut mengimbas beberapa PRK sebelum ini yang menurutnya melibatkan PKR, termasuk di Permatang Pauh, Port Dickson dan DUN Kajang.
Katanya, situasi tersebut menyaksikan kerusi dikosongkan bagi memberi laluan kepada tokoh tertentu, namun akhirnya tidak mencapai matlamat seperti dirancang.
“Ini membabitkan kos yang tinggi dan menggunakan wang pembayar cukai. Persoalannya, adakah negara perlu sekali lagi berdepan situasi sama hanya kerana konflik dalaman parti?” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan agar Rafizi kekal sebagai Ahli Parlimen Pandan sehingga tamat tempoh dan tidak mencetuskan spekulasi yang boleh mengelirukan rakyat.
“Lebih baik beri tumpuan kepada isu ekonomi rakyat berbanding membuat provokasi politik,” katanya.
Terdahulu, timbul spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya PRK di Parlimen Pandan susulan kenyataan Rafizi, namun tiada pengesahan rasmi setakat ini.- KOSMO! ONLINE.














