KETUA jurulatih TNB ThunderStars, Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor menyifatkan semangat kerja berpasukan yang tinggi faktor utama kejayaan pasukannya merampas kembali kejuaraan Piala Sumbangsih, kelmarin.
TNB ThunderStars mencapai kemenangan dramatik 5-4 terhadap juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Mohd. Madzli Ikmar berkata, kelebihan memiliki ramai pemain kebangsaan juga berjaya dimanfaatkan dengan baik.
“Alhamdulillah pemain-pemain berjaya memterjemahkannya dengan baik di atas padang bagi merealisasikan misi merampas kembali kejuaraan (Piala Sumbangsih).
“Faktor keserasian dalam kalangan pemain turut memainkan peranan penting sehingga membolehkan pasukan menjaringkan gol kemenangan (pada saat-saat akhir,” katanya.
Mengulas situasi ketinggalan dua gol pada awal permainan, beliau mengakui anak buahnya sedikit hilang fokus namun berjaya bangkit selepas diingatkan agar tidak panik untuk mengikut perancangan.
Sementara itu, pengendali THT, Mohd. Hafizi Baharom tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun tewas tipis kepada TNB ThunderStars yang juga musuh tradisi.
“Secara keseluruhan, saya bangga dengan komitmen pemain. Mereka berjaya mengawal perlawanan sebelum kita tewas pada 45 saat terakhir.
“Saya akui kita lemah dalam situasi sudut penalti serta struktur pertahanan ketika menyerang,” katanya.














