KUALA TERENGGANU – Penempatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras ketirisan bahan api tidak melibatkan semua stesen minyak di seluruh negara, sebaliknya hanya tertumpu di kawasan sempadan negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, setakat ini anggota PDRM hanya ditempatkan di pintu masuk utama sempadan termasuk di kawasan sempadan Indonesia, Thailand dan Singapura.
Menurutnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada penguatkuasaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) yang melibatkan pelbagai agensi bagi mengekang penyeludupan diesel dan petrol bersubsidi ke luar negara.
“Anggota PDRM hanya difokuskan di sempadan sahaja kerana kekangan jumlah anggota untuk ditempatkan di semua stesen minyak,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan pematuhan larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 di sini hari ini.
Fuziah berkata, pelaksanaan operasi itu memberi keutamaan kepada kawasan berisiko tinggi seperti sempadan darat dan perairan yang dikenal pasti sebagai laluan utama ketirisan bahan api.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, setakat ini, tiada gangguan bekalan secara menyeluruh dilaporkan sebaliknya hanya kes terpencil melibatkan kelewatan penghantaran. – KOSMO! ONLINE














