fbpx
TANGKAP layar video menunjukkan seorang pemandu memandu bas ekspres sambil meriba seorang wanita ketika dalam perjalanan dari TBS menuju ke Larkin Sentral, Johor Bahru, semalam.

Pemandu bas riba wanita kena pecat serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Pemandu bas yang dirakam meriba seorang wanita ketika memandu kenderaan awam berkenaan telah dipecat serta-merta oleh Sri Maju Group.

Syarikat berkenaan dalam kenyataannya mengesahkan bahawa lelaki berkenaan merupakan pekerja mereka dengan insiden tersebut telah berlaku semalam ketika bas tersebut dalam perjalanan ke Larkin, Johor dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

Katanya, selain memecat pekerja berkenaan, mereka turut membuat laporan polis terhadap lelaki itu selain kes itu dilaporkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Kami dengan ini memohon maaf dengan setulus-tulusnya dan tanpa sebarang syarat kepada semua penumpang terlibat serta orang awam.

“Setiap perkhidmatan awam berhak menerima perkhidmatan yang selamat, bertanggungjawab dan profesional pada setiap masa,” katanya di sini hari ini.

Sri Maju Group berkata, pihaknya kini sedang melaksanakan pemasangan sistem pengawasan video bagi pemandu dan di dalam bas syarikat berkenaan yang masih belum dilengkapi sistem berkenaan.

“Rakaman video tersebut amat mengecewakan, membimbangkan dan sama sekali tidak boleh diterima. Keselamatan serta keselesaan para penumpang sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami.

“Tingkah laku yang dipaparkan dalam video tersebut merupakan suatu pelanggaran serius terhadap prosedur operasi standard syarikat, selain bercanggah sama sekali dengan tataetika profesional yang kami tetapkan bagi semua pemandu kami,” katanya.

Selama ini, katanya, mereka sentiasa berusaha untuk memperoleh dan mengekalkan kepercayaan serta sokongan pelanggan kami yang dihargai.

“Namun demikian, kami amat kesal bahawa walaupun pelbagai langkah pencegahan dan pemantauan telah dilaksanakan, insiden seperti ini masih boleh berlaku,” katanya.

Mereka turut menegaskan bahawa syarikat itu sama sekali tidak bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan dan nyawa para penumpang kami.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan akan mengambil segala langkah yang perlu serta sewajarnya bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.

“Kami kekal komited sepenuhnya terhadap keselamatan, keselesaan, dan kepercayaan setiap penumpang yang menggunakan perkhidmatan kami,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan mengenai satu rakaman video tular memaparkan seorang pemandu bas ekspres didakwa memandu dalam keadaan berbahaya apabila meriba seorang wanita ketika kenderaan itu sedang bergerak dari TBS menuju ke Larkin Sentral. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN