PETALING JAYA – Gelagat seorang pekerja di sebuah pasar raya menjadi perhatian selepas mempamerkan ketelitian luar biasa dalam menyusun barangan basah dan dianggap sebagai ‘Obsessive-Compulsive Disorder’ (OCD).
Menerusi satu hantaran di Threads oleh Nadineaureli4, dia berkongsi sekeping foto yang menunjukkan ribuan ikan disusun dengan rapi dan mengikut baris yang sempurna di atas hamparan ais.
“Pekerja ini OCD ke terlebih rajin? Atau ini definisi ‘I love my job’?,” katanya dalam satu hantaran.
Rata-rata pengguna turut berasa kagum, malah ada yang berseloroh berasa serba salah untuk mengambil ikan kerana tidak mahu merosakkan keindahan susunan berkenaan.
“Nak ambil tidak sampai hati sebab orang dah susun cantik,” ujar Meck1042.
“Macam ini takutlah nak beli ikan,” seloroh Itsarmeria pula.
Ada juga pengguna yang turut berkongsi pengalaman serupa ketika mengunjungi sebuah pasar raya dan tertarik melihat kreativiti para pekerja menyusun barangan basah.
Menurut Ighfann, susunan tersebut dilakukan dengan pelbagai gaya yang unik, termasuk dalam bentuk barisan yang kemas mahupun susunan bulatan yang estetik.
“Setiap kali pergi mesti nak tengok mereka susun macam mana. Kadang-kadang susun sebaris, kadang-kadang susun bulatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














