KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merampas lebih RM11 juta bahan api bersubsidi dan barangan kawalan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan sejak 16 Mac lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, rampasan tersebut dilakukan menerusi 13,759 pemeriksaan di seluruh negara sehingga kelmarin.
“Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) berkenaam berjaya mengesan 239 kes dengan seramai 68 individu ditangkap.
“Antara komoditi utama yang dirampas ialah diesel sebanyak 865,205 liter, petrol (26,408 liter) dan gas petroleum cecair (LPG) (8,690 kilogram),” katanya l selepas meninjau pematuhan larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Tok Adis, di sini hari ini.
Fuziah berkata, selain itu, barangan kawalan lain seperti minyak masak, gula dan tepung gandum turut dirampas.m
Beliau berkata, rampasan tersebut mencerminkan komitmen berterusan KPDN dalam memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi membendung ketirisan barangan kawalan.
“KPDN turut memperkasa inisiatif Kita Gempur bagi membanteras manipulasi dan ketirisan melalui pendekatan whole-of-nation (seluruh negara),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














