PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan lawatan kerja sehari ke Terengganu dengan menghadiri majlis pecah tanah Kolej Matrikulasi Terengganu (KMT) di Bukit Payong, Marang.
Menurut beliau, projek yang telah diperkatakan sejak 2009 itu akhirnya direalisasikan pada tahun ini sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Madani dalam memenuhi aspirasi rakyat.
“Ini lambang komitmen kerajaan untuk menterjemah keperluan rakyat kepada tindakan nyata berteraskan nilai ihsan dan keadilan tanpa pilih kasih,” katanya.
KMT yang dibangunkan dengan peruntukan awal RM27 juta bagi tahun 2026 dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 pelajar dengan kemudahan akademik serta prasarana moden yang kondusif.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan pelajar agar tidak memandang ringan kepentingan pendidikan, sebaliknya memanfaatkan setiap peluang yang disediakan untuk mengubah masa depan diri dan keluarga.
“Bangkitlah sebagai generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing dalam mendepani cabaran masa hadapan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, Kerajaan Madani akan terus memperluas akses pendidikan kepada anak-anak Malaysia demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk semua.- KOSMO! ONLINE.













